AFP

API marak membakar kilang di PT Fonusa Agung Mulia di Serang, wilayah Banten. FOTO Reuters.
Jakarta: Pasukan penyelamat Indonesia hari ini giat mencari dan menyelamat (SAR) 39 individu yang masih hilang selepas sebuah kilang gula dan manisan terbakar di barat Jakarta.
Kilang PT Fonusa Agung Mulia yang terletak di daerah Serang, kira-kira 50 kilometer dari ibu negara terbakar lewat petang Sabtu, menurut kenyataan sebuah agensi mencari dan menyelamat tempatan.
Rakaman televisyen dirakam pada malam kejadian menunjukkan sebahagian kilang yang dikenal pasti sebagai pengeluar produk gula dan manisan masih terbakar dengan sebahagian bumbungnya runtuh.
"Setakat ini, 39 individu masih dalam pencarian," kata pegawai penyelamat, Rizky Dwianto sambil memaklumkan empat lagi individu cedera.
Menurut Rizki, kebakaran masih berlaku di beberapa bahagian kilang sekali gus menyukarkan usaha mencari mangsa yang hilang.
"Semua anggota gabungan pasukan SAR sedang berusaha sedaya upaya untuk mengesan mangsa sambil mengutamakan keselamatan masing-masing di lapangan," katanya.
Agensi pengurusan bencana tempatan menerusi perkongsian di Instagram hari ini pula memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan