"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inilah suara majoriti rakyat: Konvensyen gamat dengan "setuju" permohonan mandat Rafizi

ARIF ATAN
Peserta Konvensyen Pakatan Harapan hari ini bersorak "setuju" setiap kali Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menyatakan cadangan dalam usaha mengukuhkan Pakatan Harapan.

Ahli parlimen Pandan itu antara lain memohon mandat peserta konvensyen untuk memohon Majlis Setiausaha dan Majlis Presiden Pakatan Harapan memulakan rundingan untuk pengagihan kerusi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Saya mahu minta mandat untuk saya bawa isu-isu ini kepada Majlis Setiausaha dan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk buat keputusan.

"Saya mohon mandat pertama supaya pimpinan di peringkat tertinggi memulakan rundingan untuk pengagihan kerusi bagi pilihan raya umum akan datang.

"Saya juga mohon mandat untuk dibawa ke Majlis Setiausaha dan Majlis Presiden, kita juga kena ada had masa untuk rundingan.

"Setakat mana yang kita boleh, calon-calon bertanding di bawah satu logo," ujarnya disambut sorakan 'setuju' hadirin dewan konvensyen.

Rafizi turut menggesa usaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim diperhebat.

Beliau menyifatkan Konvensyen Pakatan Harapan adalah langkah untuk menyusun kembali gabungan pembangkang supaya menjadi lebih kukuh.

"Dengan adanya Amanah, PKR, DAP dan Bersatu, saya percaya rakyat tidak lagi ragu-ragu dengan Pakatan Harapan.

"Pakatan Harapan selama ini dapat sokongan baik daripada bukan Melayu.

"Pengundi Melayu masing-masing kalau diyakinkan mereka tidak teragak-agak untuk meninggalkan Umno-BN.

"Kita berdepan dengan kerajaan yang melakukan pemborosan.

"Najib ambil sebesar-besar wang Personas. Saya diminta orang dari KWSP dedahkan apa berlaku dalam KWSP.

"Kalau sentuh wang KWSP kita akan turun ke jalan raya!" tegasnya.

Beliau turut mengulas projek keretapi landasan timur (ECRL) yang disifatkan sebagai terlalu mahal.

"Dia buat projek kereta api yang kita tidak minta pun. Orang Terengganu tak minta kereta api. Orang Kelantan minta lebuh raya.

"Dia umum projek kereta api yang terlalu mahal. Tidak ada yang naik melainkan lembu-lembu.

"Keputusan mengejut di Amerika (kemenangan Donald Trump), jangan sesekali merendahkan 'under dog'. Jadi kita bina kekuatan. Rakyat tidak pilih parti yang kuat.

"Najib dan Rosmah perlu dihantar ke Penjara Sungai Buloh," katanya.

MSO: Muhyiddin cuba main "kayu tiga"?

Mohd Sayuti Omar
Menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah konvesnyen Pakatan Harapan kali pertama akan berlangsung esok akan membincangkan penubuhan gabungan pembangkang yang besar dan kuat untuk mewujudkan pelawanan 1 lawan 1 antara Pakatan Rakyat dengan BN.

Itulah mauduk ataupun harapan yang diletakkan kepada konvensyen berkenaan dan ia sangat dialu-alu dan dinanti-nantikan. Konvesnyen hari ini bakal dihadiri lebih 1,000 perwakilan, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Konvensyen ini pasti akan menjadi sejarah penting dalam jelumu politik negara dan bakal membentuk landskap baharu politik negara. Kehadiran sama bekas Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad sudah pasti akan mengaurakan momentum baharu baharu kepada pembangkang.

Kehadiran Dr Mahathir itu boleh dianggap sesuatu yang ajaib dalam dunia politik kerana sejak berdekad beliau menjadi musuh pembangkang tetapi akhir-akhir ini boleh duduk sepentas dengan pemimpin pembangkang untuk merealisasikan cita-cita bersama demi negara. Dr Mahathir tidak sanggup dan sedia mengadaikan maruah dan martabatnya kalau bukan untuk negara.

Konvensyen yang berlangsung di Shah Alam itu juga akan dihadiri Presiden PKR, Dr Wan Azizan Wan Ismail, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, Presiden Amanah Mohamad Sabu. Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhyiddin Yassin juga turut hadir sama, dan mereka akan menyampaikan ucapan masing-masing.

Orang ramai khasnya mereka yang mahu melihat kerajaan BN tumbang dalam Piraum akan datang sangat mengharapkan sesuatu yang besar dari konvensyen berkenaan seperti mana dibayangkan Saifuddin. UBN akan berjaya dijatuhkan dengan ada permaufakatan mantap di kalangan pembangkang.

Persoalannya apakah harapan itu nanati akan menjelama atau tidak. Perkara besar yang dikatakan menjelma esok ialah penanda tangani satu perjanjian persepakatan melibatkan empat buah parti itu; PKR, DAP, Amanah dan PPBM untuk berhadapan dengan BN secara bersama.

Bagaimana pun perkembangan di saat-saat akhir kurang menyenangkan bila mana kedengaran perjanjian maufakat itu tidak mungkin akan ditanda tangani oleh keempat-empat parti itu apabila PPBM khabarnya minta agar ianya ditangguh buat sementara?

Maklumat ini sesuatu yang malang dan kurang sedap bunyinya. Kenapa PPBM mahu menangguhnya? Perubahan sikap PPBM, khas presidennya ini sedikit menghairankan kerana sebelum ini Muhyiddin sudah pun menyatakan persetujuannya? Beliau sudah pun menyemak isi kandungan perjanjian berkenaan. Apakah ada pelesit yang menganggu presiden PPBM itu?

Ada maklumat yang sampai ke telinga saya, kelmarin ada dua pemimpin parti Islam (Pas) berjumpa dengan Muhyiddin. Perjumpaan itu berlangsung di sebuah kelab rekreasi di Kuala Lumpur. Apakah perjumpaan itu telah merombak simpulan Muhyiddin sebelum ini yang bersetuju untuk menandatangani perjanjian maufakat itu.

Khabarnya juga Muhyiddin telah pun memberi tahu Sekretrait Pakatan Harapan tentang penangguhannya itu?

Sekiranya perubahan sikap Muhyiddin itu benar gara-gara pertemuan dengan dua pemimpin tertinggi Pas itu kita sangat memahami sebab musababnya. Sebelum ini Muhyiddin berharap supaya Pas juga bersama dalam gabungan pembangkang. Apa yang diusahakan untuk mewujudkan grand coalition juga melibatkan Pas.

Tetapi disebabkan kerana hal-hal personal dan sentimen, (politik matang) Pas tidak bersedia untuk bersama. Penolakan Pas itu menyebabkan Muhyiddin berasakan grand coalition itu tidak akan mencapai matlamatnya. Mungkin kerana itu maka beliau perlu menangguhkan untuk menanda-tangani maufakat bersama Pakatan Harapan kerana mahu menjaga hati Pas dan terus memujuknya.

Sebenarnya tidak ada masalah kalau Muhyiddin mahu terus berusaha membawa sama Pas. Itulah sebaiknya. Tetapi perkara yang beliau kena fahami, usaha itu bukan mudah. Ia ibarat hendak memasukkan benda empat segi ke dalam lubang bulat.

Masalah yang dibayangi Pas untuk bersama grand coalition bukan sahaja gara-gara adanya Amanah dan DAP, tetapi "perikatan" menerusi istilah ta'awun dengan Umno juga menjadi penghambatnya. Muhyiddin kena memahami perkara ini kerana jalinan Pas dengan Umno suatu masa dulu melibatkan dirinya juga? Cuba cerita berapa kali Muhyiddin berbincang dengan Mustapa Ali?

Sebaik-baiknya Muhyiddin mendapat kata putus daripada Pas agar beliau tidak tertunggu-tunggu. Dan Pas juga perlu berterus terang bahawa beliau juga sudah tidak suci lagi kerana ternoda dengan Umno.

Justeru Muhyiddin atau PBBM tidak perlu menunggu atau mendengar "kecek" daripada Pas untuk tidak menyegerakan pemeteraian permaufakatan esok. Beliau boleh teruskan dengan Pas atas mekanisme yang tersendiri tetapi perjanjian dengan PKR, DAP dan Amanah esok hendaklah dilangsungkan seperti mana yang dirancangkan.

Tindakan atau sikap Muhyiddin itu bolehlah diumpamakan persis lelaki yang sudah bertunang dengan seorang gadis tetapi dalam masa sama mengorat perempuan lain. Tidak menjadi masalah kalau Muhyiddin hendak "berkahwin" lebih daripada satu, tetapi yang mustahakanya ikat atau ijab kabul dulu dengan tunangannya. Perkara wajib perlu dilakukan bagi mengelak dosa.

Kita bimbang dengan cara Muhyiddin bermain kayu tiga itu ia boleh menyebabkan beliau akan senasib dengan Lebai Malang, di hulu terlepas di hilir terpelai.

Sekiranya hari ini kalau tidak berlaku perjanjian yang diharapkan itu ia akan merosakan reputasi Muhyiddin (PPBM) dan juga Pakatan Harapan. Hendaknya jangan Muhyiddin membikin isu baharu kepada pembangkang. Harap-harap pembentukan gagasan pembangkang besar seperti mana disebut Saifuddin itu menjadi kenyataan.

Exco kerajaan Kelantan Datuk Nassuruddin Daud mahu berdebat dengan Datuk Husam Musa

Nassuruddin umum sedia debat dengan Husam isu baiah
MALAYSIA DATELINE
Exco kerajaan Kelantan Datuk Nassuruddin Daud mengumumkan, beliau bersedia menyahut tawaran berdebat dengan Adun Salor Datuk Husam Musa dalam isu baiah.

Isu baiah mengandungi sumpah setia ahli Pas, termasuk mereka yang dipecat perlu meletak jawatan sebagai Adun.

“Wajib menunaikan dan menjaga amanah, haram bagi kita mengkhianatinya lebih-lebih lagi melibatkan jawatan, kena jaga baik-baik.

“Kita (wakil rakyat Pas) ada baiah, sumpah dan taklik, tiga ini pengikat tapi ada yang sempat lagi lompat (parti), lompat pula bawa ‘kerusi’ sekali, tak boleh nak lepas,” katanya seperti dipetik Sinar Harian ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Terdahulu semasa sidang Dun minggu lalu, Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan mahu Nassuruddin bersedia untuk berdebat berhubung isu baiah kerana ruang dalam persidangan itu terhad untuk membincangkan isu tersebut.

Ketika sesi penggulungan sidang Dun tersebut, Nassuruddin turut membaca isi kandungan baiah yang mengandungi sumpah taat setiap calon Pas yang dibuat di hadapan bekas Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nasuruddin yang juga Adun Meranti berkata, sumpah setia itu bukan perkara remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan sumpah dan hukum agama.

“Ini bukan main-main, dalam debat nanti saya akan tanya dia (Husam) ambil dari nas, hadis dan al-Quran mana kata tidak menjadi masalah langgar tiga perkara itu. Jangan khianati amanah ALLAH , amanah Rasul sedangkan kita tahu perbuatan itu salah.

“Kita kalau kasih pada perjuangan Islam kena ikut cara Tok Guru, beliau jadi wakil rakyat Pas sejak tahun 1967 lagi, walaupun berlaku pergolakan dalam parti ditambah dengan masalah pimpinan keluar dari Pas bersilih ganti tetapi Tok Guru tetap istiqamah dengan Pas sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Dalam ceramahnya itu, Nasuruddin turut menjawab isu potongan elaun yang dibangkitkan oleh Husam semasa sidang Dun tersebut.

“Ini tidak dituduhnya macam-macam seperti mempersoalkan kenapa Pas hingga ke hari ini masih potong elaun dia sebanyak 20 peratus, parti tidak boleh potong tanpa kebenaran wakil rakyat itu sendiri.

“Parti tak ada hak hantar surat kepada bahagian kewangan kerajaan kecuali wakil rakyat sendiri yang hantar surat pemotongan elaun tersebut. Sejak dulu lagi Tok Guru minta semua wakil rakyat Pas potong elaun untuk disalurkan kepada parti malah beliau potong lebih dari itu," katanya.

Katanya, mana-mana wakil rakyat yang tidak mahu meneruskan pemotongan elaun boleh melakukannya sendiri dengan menghantar surat pembatalan.

“Sama seperti nak bercerai, takkan nak suruh orang lain ceraikan sedangkan itu perkahwinan kita. Jangan kaitkan dengan Pas, dia sendiri tak betul, yang penting kita istiqamah dengan perjuangan Islam,” katanya.