Agensi
Lahore: Mahkamah Majistret di sini pada Rabu memerintahkan seorang remaja lelaki dihantar ke penjara bagi menjalani reman kehakiman selama 14 hari atas pertuduhan cuba meracun bapanya selepas mendapatkan maklumat daripada kecerdasan buatan (AI).
Memetik laporan Asia News Network (ANN), suspek berusia 17 tahun itu dibawa ke hadapan Majistret Naeem Wattoo oleh Agensi Siasatan Siber Kebangsaan (NCCIA) selepas tamat tempoh reman selama tiga hari.
Majistret bertanya kepada pegawai penyiasat sama ada bapa suspek mempunyai sebarang bantahan terhadap kes berkenaan.
Pegawai itu menjawab bahawa bapa suspek tidak mempunyai sebarang bantahan selain memaklumkan bahawa remaja berkenaan adalah anak tunggal pasangan itu.
Menurutnya, bapa suspek memberitahu penyiasat bahawa anaknya yang juga pelajar tahun dua di Bahawalpur sering melakukan pelbagai jenis kajian.
Pegawai penyiasat turut memaklumkan bahawa penahanan suspek tidak lagi diperlukan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Susulan itu, majistret memerintahkan suspek dihantar ke penjara bagi menjalani reman kehakiman selama 14 hari serta mengarahkan pegawai penyiasat mengemukakan kertas pertuduhan dalam tempoh yang ditetapkan.
NCCIA menahan remaja itu pada 23 September lalu selepas suspek dilaporkan mempunyai hubungan yang renggang dengan bapanya dan didakwa merancang untuk membunuhnya susulan satu perselisihan faham.
Pihak berkuasa mendapati remaja itu berminat dalam bidang kimia selepas menonton siri drama jenayah Amerika Syarikat, 'Breaking Bad', sebelum mendirikan sebuah makmal kecil di rumah untuk menjalankan eksperimen kimia.
Suspek didakwa memperoleh bahan kimia dari Australia serta Islamabad sebelum membancuh bahan cecair di rumah. Dia juga didakwa pernah memberikan bahan berkenaan kepada bapanya dalam satu kejadian, namun percubaan itu tidak berjaya.
Remaja itu kemudian didakwa meminta panduan lanjut daripada AI mengenai cara memberikan racun yang boleh menyebabkan kematian bapanya tanpa dikesan pihak berkuasa.
Pengarah NCCIA Punjab, Hissam Iqbal mengarahkan penubuhan pasukan siasatan selepas menerima maklumat menerusi sistem automatik sebelum suspek ditahan di Bahawalpur untuk siasatan lanjut.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan