FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang warga asing antara lima ditahan kerana cuba menggadai barang kemas palsu di Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat pada 1.58 tengah hari semalam daripada pengurus kedai pajak gadai mendakwa menerima seutas gelang emas dianggarkan seberat 23g dianggarkan bernilai RM13,000 mengikut harga pasaran daripada seorang individu.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati gelang emas itu palsu dan bertindak atas maklumat, tiga lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 62 tahun, termasuk seorang warga asing ditahan.
“Semakan mendapati seorang suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah dua lagi suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.
Beliau berkata, polis yakin penahanan semua suspek dapat membantu siasatan beberapa kes berkaitan pemajakan atau penjualan emas palsu di sekitar Kota Tinggi.
Menurutnya, semua suspek direman tiga hari hingga 2 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan