KOSMO

EMPAT pelayar diselamatkan oleh sebuah kapal kontena selepas 18 jam terdampar di tengah laut. - AFP / NEW ZEALAND DEFENCE FORCE
WELLINGTON – Sekumpulan pelayar terdampar di tengah laut selepas kapal layar dinaiki mereka karam akibat diserang kawanan paus sperma di perairan Pasifik Selatan, lapor akhbar The Sun UK.
Kapal sepanjang 15.84 meter bernama Tai Tam itu karam di kawasan terpencil, menyebabkan empat anak kapal berjuang untuk terus hidup.
Rakaman video kejadian menunjukkan kapal itu hilang dari permukaan air selepas serangan mengejut, dengan seorang pelayar dilihat melambai ke arah kamera demi meminta bantuan sebelum semua anak kapal diselamatkan oleh sebuah kapal lebih besar.
Percutian mereka menjadi huru-hara selepas sekurang-kurangnya enam paus sperma merempuh kapal layar tersebut.
“Kapal senget ke tepi. Terdapat antara enam hingga lapan paus,” kata mangsa, Jemma Cooper.
Mereka menghantar isyarat kecemasan pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dan berusaha memastikan Tai Tam terus terapung tetapi gagal.
Pesawat rondaan P-8A Poseidon milik Tentera Udara Diraja New Zealand dikerahkan untuk mencari bangkai kapal dan berkomunikasi dengan anak kapal ketika operasi menyelamat dijalankan.
Selepas menyedari Tai Tam retak teruk, keempat-empat pelayar bergegas menaiki bot penyelamat dan menunggu bantuan tiba.
Mereka diselamatkan selepas 18 jam terdampar di tengah laut oleh sebuah kapal kontena sepanjang 143.25 meter, MV Sofrana Surville pukul 6 pagi (waktu tempatan), baru-baru ini. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan