Nor Azizah Mokhtar
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah blok pangsapuri di Taman Bukit Segar, Batu 9 Cheras, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan pegawai bersama Unit Forensik digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan.
Naazron berkata, mangsa ialah lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai tinggal di sebuah unit di tingkat tujuh blok berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Norfaizal Zakaria di talian 016-290 2901 bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan