Ahmad Hasbi

Lelaki warga emas maut selepas dikatakan dihempap tiang utiliti ketika menunggang motosikal dekat simpang di Felda Jelai 4, di sini, pagi tadi.- Foto PDRM
TAMPIN: Seorang warga emas yang dalam perjalanan ke klinik maut selepas dipercayai dihempap tiang syarikat utiliti ketika menunggang motosikal di FELDA Jelai 4, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 61 tahun dilaporkan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan FELDA Jelai.
Kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu dipercayai berlaku apabila kabel syarikat utiliti tersangkut pada sebuah treler yang melalui jalan sama, menyebabkan tiang di bahu jalan bertentangan tumbang lalu menimpa mangsa.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, mengesahkan siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dari FELDA Jelai 3 menuju ke klinik kesihatan di tanah rancangan berkenaan.
“Siasatan dijalankan mendapati motosikal ditunggang warga emas dalam perjalanan dari FELDA Jelai 3 menghala ke Klinik Kesihatan di tanah rancangan berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah treler dipandu lelaki berusia 40 tahun dipercayai sedang keluar dari simpang tiga jalan di FELDA berkenaan dan kabel syarikat utiliti dikatakan tersangkut pada treler itu.
“Ia menyebabkan tiang di bahu jalan bertentangan tumbang dan menimpa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-4412502 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu treler ditahan untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan