Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Seorang penceramah motivasi diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberi keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Ketua Polis Perlis, DCP Hamzah Hashim mengesahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 2.09 pagi, 26 September lalu.
Susulan laporan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
“Sehubungan itu, sekiranya terdapat mangsa lain yang terlibat dengan penceramah motivasi berkenaan, mereka diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.
“Penama Farhaan Rahmat juga diminta hadir ke IPD Padang Besar untuk memberi kerjasama dan keterangan berhubung kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, malam ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharifah Nur Fasihah Syed Sofian, menerusi talian 04-9490824 atau 019-8151602.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, sebelum ini mengarahkan semua program membabitkan seorang motivator yang didakwa berkelakuan tidak senonoh ketika bersama murid di sekolah dihentikan serta-merta.
Media turut melaporkan dakwaan seorang penceramah bebas mengajak wanita muda menjadi ‘sugar baby’ dan ke hotel, namun belum ada pengesahan bahawa kedua-dua laporan itu membabitkan individu yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan