Johary Indan

Kenderaan Perodua Bezza dinaiki dua pelancong wanita dari Semenanjung masih tersadai di jambatan low level crossing Tamparuli.- Foto NSTP
TAMPARULI: Dua pelancong wanita berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jambatan low level crossing Tamparuli, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, dua mangsa terbabit yang menaiki Perodua Bezza, dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas selesai melakukan pendakian Gunung Kinabalu.
Beberapa saksi berkata, pemandu terbabit yang tidak mahir dengan laluan berkenaan hanya bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi ketika cuaca buruk, paras air yang kian meningkat dan keadaan semakin gelap sehingga menyebabkan kenderaan itu terapung.
Difahamkan, dua wanita terbabit bernasib baik, apabila orang awam bertindak pantas dengan menarik keluar mangsa itu ke tempat selamat.
Bagaimanapun, beberapa barang peribadi serta dokumen pengenalan diri terlepas dan hilang apabila kereta berkenaan tenggelam.
Jambatan low level crossing Tamparuli itu baru sahaja dibuka semula kepada pengguna jalan raya semalam, selepas ditutup selama sembilan bulan bagi kerja pembaikan struktur akibat tanah mendap.
Kenyataan rasmi pihak berkuasa berkaitan masih belum dikeluarkan.
Tinjauan di lokasi pagi ini mendapati kenderaan itu masih tersadai di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan berkaitan, jambatan low level crossing Tamparuli ditutup semula kepada lalu lintas sehingga kerja pembersihan susulan banjir, selesai dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan