"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Ji sedia debat Nik Zawawi tanpa syarat

Anne Muhammad

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin tidak meletakkan sebarang syarat untuk berdebat dengan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh yang mewajibkan hukum menjatuhkan kerajaan PH.

Jelas Wan Ji dia bersedia berdebat di mana-mana platform asalkan perbincangan tersebut dapat disampaikan kepada umum.

“Nik Zawawi ingin berdebat dengan syarat tapi saya punya pandangan, saya pula sedia debat tanpa syarat.

“Mana-mana platform pun saya okey, tanpa syarat, kalau dia dengan syarat tapi saya tanpa syarat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wan Ji berkata demikian ketika diminta mengulas syarat yang ditetapkan oleh Nik Zawawi yang hanya mahu berdebat sekiranya sesi berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Pada ucapan penutup Muktamar Tahunan PAS pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi berkata menjatuhkan kerajaan PH adalah wajib dan menegaskan tiada sebarang khilaf mengenai perkara itu.

"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," kata anggota Parlimen Pasir Puteh itu.

Susulan itu, Wan Ji secara tidak langsung mencabar Nik Zawawi untuk membicarakan kewajarannya mewajibkan penyokong PAS menjatuhkan kerajaan PH.

Wan Ji berkata beliau difahamkan Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zolkhairnain Abidin turut menawarkan diri menjadi penganjur kepada debat berkenaan.

Selain itu, menurutnya, Zolkhairnain telah menghantar mesej kepada Nik Zawawi berkaitan kesediaannya untuk menganjur dan menjemput Wan Ji sebagai panelis.

“Saya pun tengah tunggu maklum balas Zawawi. Lagi cepat (debat) lagi bagus,” katanya.

Kata Wan Ji lagi, beliau turut menawarkan sesi debat itu kepada stesen televisyen Al-Hijrah melalui slot Analisis bersama pengacara Finaz namun belum mendapat maklum balas.

“Saya cadangkan TV Al-Hijrah cuma kalau boleh masuk RTM, TV3 lagi baik

“Sudah cadangkan tapi belum dapat respons. Terpulang pada mereka kerana mereka yang ada ruang tu. Saya cuma tawar diri jadi panel,” katanya.

Budi rakyat pilih PH akan dibalas oleh kerajaan

BERNAMA
Kerajaan akan membalas budi rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan (PH), sebagai gabungan parti untuk memimpin negara pada pilihan raya umum lepas.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun ada pihak yang berkata tiada pencapaian yang dibuat setelah PH menjadi kerajaan, namun sebenarnya sudah banyak yang dihasilkan oleh pemerintahan PH.

“Kita sudah selesaikan banyak masalah yang ditinggalkan parti lama (yang memerintah sebelum ini) dan kita percaya tak lama lagi keadaan negara kita akan pulih.

“Kita dah janji untuk berkongsi kekayaan negara dan kita perkenalkan dasar baharu iaitu kemakmuran bersama… Kita akan tentukan tiada sesiapa akan tertinggal,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Peringkat Nasional malam tadi.

Dr Mahathir berkata dasar baharu kerajaan akan dapat direalisasikan selagi rakyat menyokong segala rancangan yang disusun kerajaan.

Beliau berkata bagi sektor pertanian, yang banyak melibatkan golongan miskin misalnya, bidang itu akan diperkenalkan dengan pelbagai pendekatan baharu, supaya rakyat di luar bandar dapat menikmati kemakmuran sama seperti di bandar.

Sementara itu katanya setelah PH mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak kini sudah tidak lagi berada dalam ketakutan dan bebas membuat teguran kepada kerajaan.

“Pemerintahan ini walaupun dikatakan tidak cekap, tapi lebih cekap daripada (kerajaan) dahulu dan dengan penghapusan rasuah, negara akan lebih maju dan rakyat hidup lebih sempurna,” katanya.

Hampir 20,000 rakyat hadir pada majlis Aidilfitri yang diadakan di Dewan Konvensyen MBI Desaku di sini yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Minggu ini fatwa jatuhkan PH, minggu depan fatwa lain, itu parti fatwa”

AKMAL MANAF
“Minggu ni fatwa wajib jatuhkan Pakatan Harapan (PH), minggu depan fatwa lain. Tahun depan fatwa lain pula. Itu parti fatwa,” demikian kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, pihaknya mengambil kira segala kritikan yang dilemparkan dan jika kritikan itu berasas, ia akan diperbaiki.

Namun, Menteri Pertahanan itu menegaskan, pihaknya akan melawan parti yang selalu menurunkan fatwa seperti itu.

“Kalau ada fatwa-fatwa mengarut itu, kita hindarkan. Kita lawan parti yang selalu menurunkan fatwa itu kerana boleh merosakkan keharmonian yang ada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Rumah Terbuka AMANAH, di Jalan Semarak, hari ini.

Ahad lalu, ketika ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-65 di Kuantan, Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu bahawa ‘wajib’ menjatuhkan kerajaan PH.

Susulan kenyataan kontroversi Nik Zawawi itu, Mohamad sekali lagi mengulangi pendirian bahawa akan melawan fatwa-fatwa mengarut itu.

“Nak kritik, silakan kritik. Nak kritik apa pun kepada saya, kepada AMANAH dan PH, silakan.

“Tetapi fatwa mengarut yang kita hadapi, kita akan lawan. InsyaAllah kerajaan PH akan terus teguh,” katanya lagi.