Agensi
Taipei: Taktik seorang lelaki di Taiwan menggunakan pembersih vakum robotik untuk membongkar dakwaan kecurangan isterinya membuahkan hasil apabila dia memenangi saman sivil terhadap wanita itu dan kekasihnya, lapor NDTV.
Namun, kemenangan itu bertukar menjadi padah apabila dia kemudian dijatuhi hukuman penjara kerana merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenaran.
Menurut penghakiman mahkamah yang dikeluarkan baru-baru ini dan dilaporkan media tempatan, lelaki berkenaan berkahwin pada 2021 dan tinggal bersama ibu bapanya. Dia dan isterinya menggunakan rumah peranginan mereka terutama ketika musim percutian.
Syak wasangkanya terhadap isterinya meningkat pada September 2023 selepas dia menemukan berus gigi yang sudah digunakan di kediaman berkenaan. Dia kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di garaj tempat letak kereta sebelum menyedari seorang lelaki tidak dikenali memandu keretanya untuk menghantar isterinya pulang.
Kira-kira tiga bulan kemudian, si suami mengaktifkan pembersih vakum robotik di rumah peranginan itu secara kawalan jauh menerusi aplikasi telefon bimbitnya. Peranti berkenaan dilengkapi fungsi audio terbina dalam yang membolehkan pengguna berkomunikasi menerusinya.
Bagaimanapun, strim langsung daripada pembersih vakum itu merakam isterinya bersama lelaki lain dalam keadaan intim. Si suami kemudian merakam paparan berkenaan sebelum menyerahkannya sebagai bahan bukti dalam saman sivil terhadap isterinya dan lelaki terbabit.
Pada mulanya dia menuntut ganti rugi sebanyak 2 juta dolar Taiwan (kira-kira RM254,000), lapor South China Morning Post. Mahkamah sivil memutuskan hubungan itu melampaui batas persahabatan biasa dan memerintahkan isteri serta lelaki berkenaan membayar pampasan 500,000 dolar Taiwan (kira-kira RM63,000) kepadanya.
Bagaimanapun, kemenangannya tidak bertahan lama apabila dia berdepan tindakan undang-undang berasingan berhubung cara mendapatkan bukti berkenaan.
Isterinya mendakwa lelaki itu merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenarannya, namun dia berhujah tindakan itu wajar kerana rakaman berkenaan diterima sebagai bukti dalam prosiding sivil.
Mahkamah menolak pembelaan itu dan memutuskan bahawa kewajipan perkahwinan tidak mengatasi hak privasi seseorang. Mahkamah turut mendapati rakaman berkenaan dilakukan secara sengaja.
Mahkamah turut memutuskan sebarang lampu atau pemberitahuan suara yang dikeluarkan pembersih vakum robotik tidak mencukupi untuk membuktikan wanita berkenaan mengetahui dirinya dirakam atau memberikan kebenaran.
Lelaki itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda 150,000 dolar Taiwan (kira-kira RM19,000) kerana merakam imej peribadi secara haram.
Di bawah undang-undang Taiwan, tindakan merakam atau mendedahkan aktiviti peribadi atau maklumat intim orang lain secara bersembunyi tanpa kebenaran boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 300,000 dolar Taiwan (kira-kira RM38,000).
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan