Nur Alif Hazmi
KUALA LUMPUR: Satu mayat ditemui dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat dari Tokyo, Jepun yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pagi tadi.
Sumber polis berkata, kru kejuruteraan menemui mayat yang belum dikenal pasti identiti dan jantina itu kira-kira 6.55 pagi tadi, selepas pesawat berkenaan mendarat sekitar 6.30 pagi.
Katanya, kru terbabit terhidu bau busuk dari ruang simpanan tayar sebelum membuka ruang itu dan menemui mayat mangsa berbaju putih serta berseluar jeans.
“Polis dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menghantar unit forensik ke lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan meninggal dunia lebih 72 jam.
Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan