Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rasa malu dan tertekan akibat bebanan hutang mencecah RM260,000 selepas isteri terjerat dalam perangkap 'love scam' dipercayai motif seorang lelaki bertindak luar kawalan membunuh tiga ahli keluarganya sebelum menamatkan nyawa sendiri dalam kejadian menyayat hati di Desa ParkCity, di sini, semalam.
Ia susulan polis menemui sekeping nota yang ditinggalkan suspek yang juga bapa kepada keluarga berkenaan di atas meja makan kediaman mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek meninggalkan sekeping nota di atas meja makan yang menyatakan rasa kesal terhadap isteri yang dikatakan mempunyai hubungan dengan 'scammer' sehingga suspek menanggung kerugian dan hutang sehingga RM260,000.
"Isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan dan suspek merasakan perbuatan itu melampau dan berasa malu kepada anak-anak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kematian empat beranak itu mengejutkan penduduk sekitar selepas mayat mereka ditemui dalam kediaman sebelum polis dipanggil ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Mengulas mengenai perkembangan proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Fadil mengesahkan prosedur ke atas anak perempuan pasangan itu berusia sembilan tahun selesai dijalankan pagi tadi.
"Bedah siasat selesai dijalankan hari ini pada jam 9 pagi ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari. Satu liang tikaman di leher berukuran lima sentimeter ditemui di bahagian leher si mati," katanya.
Menurutnya, proses bedah siasat bagi mayat kedua iaitu isteri suspek dengan hanya tiga proses dijadualkan selesai hari ini.
"Bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka dijalankan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok," katanya.
Sementara itu, pasukan forensik turut menemui bukti penting yang dipercayai menjadi senjata yang digunakan dalam kejadian pembunuhan kejam itu.
"Sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan ditemui di dalam laci di bilik tidur utama," katanya.
Polis masih meneruskan siasatan terperinci mengikut sudut forensik dan maklumat latar belakang keluarga terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.
Semalam, media melaporkan lelaki maut selepas terjatuh bangunan kondominium di Desa Parkcity, Persiaran Residen, di sini, manakala isterinya dan dua anak ditemui maut dalam unit kediaman berkenaan.
Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di Unit Forensik HKL mendapati beberapa individu hadir kira-kira jam 1 tengah hari dipercayai ahli keluarga.
Bagaimanapun, semua mereka enggan ditemubual dan bergegas pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan