"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anjing German Shepherd serang jiran, ahli perniagaan diperintah bayar RM248,000

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan diperintah membayar ganti rugi RM248,457.60 kepada jirannya yang mengalami keretakan tulang belakang selepas didakwa dikejar dua anjing German Shepherd miliknya ketika berjoging.

Hakim Mahkamah Sesyen Zawiyah Saad mendapati Ong Thiam Boon bertanggungjawab terhadap kecederaan dialami Kamal Abdullah dalam kejadian di Taman Anjung Tiara, Segambut, pada 10 Feb 2021.

Zawiyah berkata Kamal berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Ong.

Kamal dianugerahkan RM178,457.60 sebagai ganti rugi khas dan RM70,000 ganti rugi am berserta faedah selain turut diberikan kos sebanyak RM15,000.

Beliau menyaman Ong susulan kejadian itu dengan mendakwa dua anjing German Shepherd milik ahli perniagaan berkenaan menerkam ke arahnya ketika beliau sedang berjoging.

Katanya, beliau terjatuh ketika cuba melindungi diri dan mengalami keretakan tulang belakang yang memerlukan pembedahan serta rawatan susulan.

Kamal mendakwa Ong gagal mengawal anjingnya dengan sempurna dan memastikan pintu pagar rumahnya sentiasa ditutup.

Ong menafikan anjing berkenaan menyerang atau bersentuhan dengan Kamal.

Beliau mendakwa Kamal hilang imbangan dan terjatuh ketika berundur di atas jalan curam dan tidak rata selepas menghayunkan tongkatnya ke arah anjing berkenaan.

Ong turut mendakwa kecederaan Kamal berpunca atau turut disumbang oleh kecuaian Kamal sendiri.

Mahkamah juga menolak tuntutan balas Ong yang mendakwa Kamal mengugutnya sehingga menyebabkan beliau mengalami ketakutan, penghinaan dan tekanan mental.

Shahril Madisa mewakili Kamal, manakala Tan Shao Jia dan Wong Win Xien mewakili Ong.

Tiada ulasan: