MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
PUTRAJAYA- Seramai 1,476 warga Myanmar bakal dihantar pulang secara sukarela pada 29 September depan menerusi pelaksanaan fasa pertama program penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri berkata, proses penghantaran pulang kumpulan itu akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
“Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela akan dilaksanakan pada 29 September melibatkan seramai 1,476 warga Myanmar yang dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar melalui Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos.
“Tarikh tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Untuk tahun 2026, seramai 4,008 daripada mereka terutamanya etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu lain akan menjalani proses
penghantaran pulang secara sukarela secara berperingkat seperti dipersetujui Myanmar.
KDN berkata, sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen.
“Perlu ditegaskan bahawa jumlah ini merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
“Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.
“Proses pendaftaran DPP golongan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun 2026,” katanya.
Kata KDN, kerajaan menggunakan dua strategi dalam usaha itu termasuk melaksanakan rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat negara itu dapat dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.
“Kedua, melaksanakan pendaftaran dan pendataan individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka melalui program DPP.
“Ia bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat yang menyeluruh dan tepat mengenai keberadaan golongan tersebut,” katanya.
Jelas KDN, data itu seterusnya dapat digunakan bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan serta
perancangan pengurusan dan penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan.
“Kedua-dua cabang strategi ini perlu dilaksanakan secara serentak dan saling melengkapi. Usaha penghantaran pulang memerlukan data yang tepat dan terkini mengenai individu yang terlibat.
“Manakala pelaksanaan pendaftaran
melalui DPP pula perlu disokong oleh hala tuju penyelesaian yang jelas bagi memastikan mekanisme tersebut tidak sekadar menjadi suatu bentuk pendaftaran, tetapi merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan
lebih menyeluruh terhadap pengurusan pelarian dan pemohon suaka,” katanya.
Seterusnya program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.
Pendaftaran tersebut akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas kepada pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan