"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak maut, ibu tuding guru: Sakit jantung diarah berlari

Hariz Mohd

Allahyarhamah Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan sudah berdepan masalah jantung sejak berusia tiga bulan.

Disebabkan keadaan kesihatannya, murid berusia 11 tahun itu dikecualikan daripada menyertai kegiatan sukan di sekolah.

Namun, ibu bapanya mendakwa seorang guru mengarahkan murid Tahun Empat itu menyertai acara larian semasa pemilihan rumah sukan pada 15 April lalu, walaupun pihak sekolah telah menerima surat perubatan berhubung penyakitnya.

Nur Qaira kemudian meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Kegagalan jantung, OKU terlantar

Bercakap kepada Malaysiakini, ibunya Norlela Shaari berkata Nur Qaira dimasukkan ke hospital pada 24 April selepas muntah dengan teruk dan mengalami bengkak di sekitar mata.

Menurut Norlela, anaknya kelihatan amat letih dan mengadu loya selepas pulang dari sekolah susulan acara larian berkenaan.

Pemeriksaan perubatan kemudian mendapati Nur Qaira mengalami kegagalan jantung akibat dekompensasi dengan kardiomiopati dilatasi.

"Selepas doktor pediatrik cardio mengesahkan ada air di selaput jantung tu menyebabkan mata dan muka dia bengkak dan tidak dibenar melakukan banyak pergerakan hanya dengan wheel chair saja dan doktor hanya benarkan Qaira minum air satu liter saja untuk mengelak bengkak berulang."

Melalui hantaran Facebook pada 16 Ogos, Norlela menyifatkan Nur Qaira sebagai seorang kanak-kanak aktif yang rajin bersekolah meskipun mempunyai masalah jantung.

"Satu kesilapan dari seorang guru (PPKI) walaupun sudah diberi surat pengesahan tentang penyakit yang dihadapi (Qaira).

"Tindakan guru tersebut itu mengarahkan anak saya berlari pada pemilihan rumah sukan menyebab Qaira menjadi OKU terlantar memakai oksigen seumur hidup.

"Di mana sifat perikemanusiaan guru tersebut. Anak saya 'berdendam' dengan cikgu tersebut. Ini hanya urusan dunia...nantikan balasan di akhirat," katanya.

Hantaran itu disertakan beberapa gambar yang memaparkan Nur Qaira terlantar di katil hospital dengan alat bantuan pernafasan oksigen menutupi wajahnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dia dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan keluarga Nur Qaira.

Fadhlina berkata dia turut mengarahkan Unit Integriti Kementerian Pendidikan mengambil tindakan lanjut.

"Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga.

"Saya juga telah mengarahkan Unit Integriti untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.

"KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid," katanya dalam hantaran Facebook.

Tiada ulasan: