"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua rentung, kereta terbakar selepas kemalangan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba memadam kebakaran Perodua Axia sebelum mengeluarkan mayat dua individu yang rentung. FOTO Mohd Adam Arinin.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran Perodua Axia sebelum mengeluarkan mayat dua individu yang rentung. FOTO Mohd Adam Arinin.
Kota Kinabalu: Dua individu rentung dalam kebakaran kereta selepas terbabit kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, identiti kedua-dua mangsa yang menaiki Perodua Axia masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.30 pagi.

Katanya, pasukannya dibantu pasukan BBP Putatan ke lokasi, yang mendapati kereta itu terbakar sepenuhnya selepas kemalangan.

"Tiga kenderaan yang kemalangan adalah Perodua Axia (terbakar), Perodua Viva dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman segera dilakukan dan api berjaya dikawal pada 2.58 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua mangsa rentung di dalam Perodua Axia. Kedua-duanya dikeluarkan pasukan dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ordine berkata, pemandu Perodua Viva iaitu lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 22 tahun cedera ringan.

Katanya, operasi itu tamat pada 4.40 pagi

Pengkhianat: 46 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat sindiket bawa masuk warga asing

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lebih kurang 46 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing menerusi ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka disyaki susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nenerusi Ops Pump baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan ‘setakat ini’ mengesan 46 pegawai disyaki terlibat dengan sindiket yang membawa masuk pekerja asing melalui kaunter-kaunter tertentu, bagi memudahkan laluan masuk tanpa pemeriksaan yang mematuhi prosedur imigresen.

Katanya lagi, terdapat keterangan yang menunjukkan wujudnya pembayaran rasuah dan yang turut bersubahat dengan pihak ejen – menyebabkan warga asing itu dapat masuk dengan mudah sebagai pelancong dan kemudian hilang, serta disyaki bekerja tanpa dokumen.

Hari ini SPRM menggerakkan Ops Setting hasil daripada perkongsian maklumat perisikan antara agensi dan telah menahan 13 individu termasuk dua penguat kuasa di KLIA kerana dipercayai terbabit rasuah melibatkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama, menurut kenyataan.

Semua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Dua suspek penguat kuasa tersebut disyaki terlibat dengan perbuatan itu sejak 2016 dengan menerima bayaran rasuah antara RM300 sehingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan, katanya.

Turut ditahan sembilan orang ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguat kuasa.

Azam berkata suatu pasukan khas merakam percakapan pegawai-pegawai penguat kuasa yang disyaki bagi membantu siasatan.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat.

Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok bagi permohonan reman.

Menurut Azam, serbuan turut menyita lebih kurang RM50,000 wang tunai.

Semalam seorang warganegara Myanmar yang merupakan ejen sindiket dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah seksyen 16(b)(B) Akta SPRM kerana membayar rasuah RM5,650 kepada penguat kuasa imigresen, sebagai upah melepaskan kemasukan sembilan orang warga Myanmar melalui pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Dua warga emas cedera, kereta dinaiki jatuh dalam tanah jerlus

Bharianonline
Terdapat seorang pemandu dan penumpang di dalam kereta ketika kejadian. - Foto AGENSI
Terdapat seorang pemandu dan penumpang di dalam kereta ketika kejadian. - Foto AGENSI
SEOUL: Dua warga emas cedera selepas kereta mereka naiki terjatuh ke dalam tanah jerlus di barat Seoul, hari ini, lapor pihak berkuasa bomba.

Dalam kejadian jam 11.26 pagi (waktu tempatan), kenderaan yang menuju ke Jambatan Seongsan itu terbalik dan terjatuh ke dalam lubang besar di Seongsan-ro di Yeonhui-dong, Seodaemun-gu, barat laut Seoul.

Ketika kejadian, kenderaan itu dinaiki pemandu dan penumpang, masing-masing wanita berusia 70-an dan lelaki berumur 80-an yang mengalami cedera parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Insiden tanah jerlus itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas dengan siasatan lanjut sedang dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian. - AGENSI