"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

8 polis ditahan disyaki terbabit aktiviti air ketum

Bernama

KUALA LUMPUR: Lapan anggota polis antara sembilan individu ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti air ketum dalam serbuan di Taman Keramat, di sini, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Aida Abdul Hamid, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, pihaknya memantau rapat kes itu dan siasatan telus sedang dilaksanakan IPD Ampang Jaya.

“Ya, JIPS Bukit Aman mengesahkan penahanan lapan anggota polis berserta seorang individu awam dalam operasi di Taman Keramat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut sumber, serbuan di Jalan AU1, Taman Keramat pada 8.45 malam itu dilakukan Cawangan Risikan dan Operasi JIPS Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ampang Jaya.

“Lapan anggota polis itu membabitkan tujuh yang bertugas di pelbagai cawangan sekitar IPD Sentul, manakala seorang lagi di IPD Brickfields,” kata sumber.

Sumber itu memaklumkan semua ditahan di lokap Balai Polis Hulu Kelang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

2 beradik tokoh korporat disyaki selewang pelaburan RM10 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua beradik yang juga tokoh korporat kerana disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman selama lima hari sehingga 6 Oktober ini terhadap dua beradik bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk Wira’ itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, lapor Utusan Malaysia.

Dua beradik berusia 40 dan 50an ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.

Mereka juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama.

Susulan siasatan itu, SPRM menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Lelaki dilarikan depan bengkel, mayat ditemui ditanam di Semenyih

Wartawan Jenayah

Kuala Lumpur: Seorang lelaki disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu dari hadapan sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya, di sini, awal pagi Khamis lalu.

Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an, dikenali sebagai Mulia dipercayai dilarikan oleh suspek dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Honda.

Seorang pemilik bengkel, yang enggan dikenali berkata, dia melihat rakannya dilarikan oleh suspek dari hadapan bengkelnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya.

"Saya bertemu mangsa sejam sebelum dilarikan. Ketika itu dia menghantar kenderaannya ke bengkel saya untuk dibaiki pada awal pagi Khamis sebelum saya pulang ke rumah.

"Pada siang hari (Khamis), saya dihubungi oleh isteri dan adik mangsa yang memaklumkan Mulia tidak pulang ke rumah sebelum saya ke bengkel dan meneliti rakaman CCTV.

"Berdasarkan rakaman itu, kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, yang mana Mulia dibawa menaiki sebuah kereta, sebelum saya menyarankan isteri dan adiknya untuk membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemilik bengkel berkata, dia kemudian dihubungi oleh isteri mangsa pada awal pagi Isnin lalu memaklumkan Mulia sudah meninggal dunia disyaki menjadi mangsa bunuh.

"Isnin lalu, saya ada bertemu dengan adik dan isteri mangsa di Hospital Serdang, kami difahamkan ketika ini pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, rakaman CCTV di bengkelnya juga sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, mayat seorang lelaki yang ditemui ditanam di satu kawasan di Semenyih, Kajang, Ahad lalu dipercayai adalah mayat mangsa.

Pada masa ini, usaha mendapatkan pengesahan daripada Polis Daerah Kajang dan Polis Daerah Ampang sudah dilakukan namun masih menemui jalan buntu.

Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis sudah menahan beberapa individu yang disyaki terbabit bagi membantu siasatan selain sedang mengesan saki-baki suspek utama.