"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat Perak sokong Majlis Peguam bubar Dun

Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir 
KOTA BHARU, 5 Mac (Hrkh) - 
Mengambil kira pergolakan politik yang tiada penghujungnya, rakyat Perak kini berani meluahkan perasaan dengan mendesak supaya pilihan raya kecil diadakan di negeri tersebut.

Kata mereka masalah menjadi semakin kronik dan tidak mampu lagi diselesaikan melalui mekanisma yang ada sekarang kerana kedua-dua pihak mempunyai pendirian yang berbeza.

Seorang wanita India Muslim dari Ipoh, �yang mahu dikenali sebagai Fatimah berkata, hanya pilihan raya kecil sahaja yang mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku di Perak sekarang.

Kata beliau selagi pihak yang ada kuasa enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) atau diadakan pilihan raya kecil di tiga Dun yang mana wakil rakyatnya melompat Febuari lalu, konflik di Perak tidak akan selesai.

"Kita akan lihat hari-hari ada laporan polis dibuat. Sedangkan polis mempunyai banyak tugas lain terutamanya kes jenayah yang semakin meningkat sekarang.Image

"Sekiranya pilihan raya diadakan di Dun Behrang, Jelapang dan Changkat Jering masalah yang berlaku sekarang selesai.

"Itu mungkin pilihan yang lebih baik berbanding dengan pilihan raya di kesemua Dun di Perak kerana ia tentunya melibatkan kos lebih tinggi," katanya ketika ditemui semasa berkunjung bersama rombongan India Muslim Ipoh ke sini, hari ini.

Semalam Majlis Peguam Malaysia mengsyorkan supaya dibubarkan Dun di Perak bagi menyelesaikan krisis politik negeri terbabit yang berlarutan lebih sebulan.

Presidennya, Dato' Ambiga Sreenevasan dilaporkan berkata, situasi yang berlaku di Perak sekarang memerlukan penyelesaian secara konklusif dengan mengadakan pilihan raya baru.

Seorang rakannya juga dari Ipoh Aishah Abdul Kadir, 55 berkata, cara kerajaan baru dibentuk di Perak tidak diterima rakyat kerana bercanggah dengan amalan demokrasi.

"Saya percaya kerajaan seperti itu tidak akan bertahan lama, mungkin tiga Adun yang melompat sebelum ini akan berhijrah semula, dan selepas itu kerajaan Pakatan Rakyat pula mentadbir Perak.

"Selagi tidak diadakan pilihan raya, ramai percaya isu yang berlaku di Perak sukar diselesaikan. Ini kerana undang-undang yang sama ditafsir secara berbeza-beza," katanya.

Beliau juga mendedahkan orang ramai di Ipoh menjadi 'sesak nafas' menonton televisyen sekarang kerana semakin membelakangkan demokrasi dan berlagak seperti hakim.

ImageKata beliau orang ramai terutamanya yang bekerja lebih seronok melayari internet dan SMS bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat.

"Biar pun saya tidak baca Harakah sebelum ini namun perkembangan sebenar yang berlaku kami tahu. Saya juga bimbang institusi yang dihormati sebelum ini turut tercemar dengan isu yang berlaku sekarang," ujarnya.

Sementara itu, anggota jawatankuasa Persatuan India Muslim�Kelantan, Musa Amin berkata, ramai rakannya di Perak kecewa dengan pemimpin utama Umno yang tidak sabar untuk mendapatkan kuasa di Perak.

Kata beliau sebelum ini rakyat Perak tidak mengenali secara dekat peribadi bakal perdana menteri, Dato' Seri Najib Razak kecuali selepas meletus isu Altantuya.

Bagaimanapun sekarang kata beliau rakyat Perak semakin mengenali Timbalan Perdana Menteri sebagai orang yang bertanggungjawab membentuk kerajaan BN secara kudeta dan bukan demokrasi.

"Rakan-rakan di Ipoh yang sebelum ini pernah menyokong Umno dan MIC sekarang sudah beralih sokongan. Malah mereka tidak sabar lagi untuk menghukum Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang," katanya.

Sebelum itu Musa yang juga anggota Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menyampaikan taklimat mengenai perkembangan pembangunan Kelantan dan perkembangan politik semasa kepada rombongan dari Ipoh tersebut.

Musa juga menyelar tindakan Pemuda Umno yang bertindak seperti gengstar dengan menyerang Pengerusi DAP, Karpal Singh di parlimen baru-baru ini.

Kata beliau tindakan tersebut jelas tidak bertamadun dan menambah lagi kebencian rakyat terhadap Umno dan BN.

"Kami masyarakat India Kelantan amat tidak berpuas hati dan kecewa terhadap tindakan itu, Karpal orang tua dan OKU lagi. Kami tidak boleh menerima tindakan seperti itu," ujarnya.

ImageBeliau juga berpendapat tindakan pemuda Umno menyerang Karpal tidak lebih sebagai usaha mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman Umno menjelang perhimpunan agung parti itu, 24 Mac ini.

Menurutnya selepas gagal menyelesaikan kudeta di Perak, Umno cuba mencari modal lain kononnya untuk menarik simpati rakyat, tetapi keadaan sebaliknya pula berlaku.

"Mereka begitu takut kalau mendengar rakyat mendesak supaya diadakan pilihan raya kecil di Perak kerana orang ramai tahu perkara sebenar yang berlaku.

"Biar pun kerajaan menggunakan televisyen dan akhbar bagi mempengaruhi rakyat namun pemimpin Umno lupa perkembangan ICT sekarang rakyat tidak mudah diperbodohkan," katanya.

Tiada ulasan: