"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bob Lokman jadi ulamak

Bob Lokman jadi ulamak. Dia pakai jubah santai macam Sultan Kelantan pakai. Dengan kopiah dan janggut berandam rapi, penampilan beliau sebagai ulamak tidak dinafikan lagi. Tambah pula biji tasbih di genggaman jari dan tongkat sebagai pelengkap aksesori. 

Ini bukan lakonan mengada-ngada tetapi betul-betul punya!

Demikian perwatakan Bob Lokman semalam (Isnin 23 Mei 2011) di Mersing Kanan, Mersing. Selepas tamat acara orang ramai  berpusu-pusu menunggu untuk dapatkan autograf sebagai imbalan membeli buku berjodol, Aku, Isabela dan Tok Kenali.

Ceramah beliau ringkas sahaja. Dalam sekitar sejam beliau menyiku kiri kanan. Dalam syok mendengar mantan pengurus kumpulan Wings dan M Nasir ini  membantai UMNO, ahli PAS ikut tertibai. Lawaknya memang lucu dan diungkapkan secara santai. Ramai muslimat terpaksa menutup mulut menahan geli hati.

Madahnya berhelah ketika mengulas tugas Polis mengawal ceramah. Katanya, ramai juga Polis menyokong PAS. Orang PAS jangan takut dan marah pada Polis, biar mereka datang dan dengar. Hari ini penyokong PAS makin bertambah.

Ada guru yang beliau kenal memakai baju Pemuda PAS tetapi dengan tag nama berbeza. Perlahan-lahan guru tersebut menyatakan bahawa jika masuk surat khabar, khuatir orang kenal. Cara Bob bercerita kisah Polis dan guru itu memang lucu. Memang patut dia jadi juri Raja Lawak dan pengacara Telebriti.

Bekas penjual buah di Cheras ini secara ringkas mengulas perjalanan hidup beliau sebelum nekad mengibar bendera perjuangan PAS. Dunia glamor ditinggalkan demi sebuah kehidupan yang ikhlas.

Di sana sini dalam wacananya, Bob tidak lupa memetik ayat al Quran dan hadis pilihan. Kepada orang yang ingin tahu pegangan PAS dipersilakan membaca surah an Nisa' ayat 61 - 65.

Sebelum menutup bicara, Bob sempat menyatakan bahawa beliau sanggup kembali berlakon dengan syarat situasi dan kondisi yang melatari dunia artis ini berubah. Jika syariat dipatuhi, semuanya tidak jadi masalah. Beliau juga mengambil kesempatan mengajak orang ramai mengambil sikap berterus terang menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Sungguh Bob Lokman sedang menelusuri jalan leluhur keluarga beliau yang bergelumang dengan dakwah, tarbiyah dan perjuangan Islam. Penulis begitu teruja dengan kemahiran beliau memilih kata-kata yang sederhana ringkas namun  memberi bekas.

Pulang dari ceramah, penulis mengambil masa kira-kira dua jam untuk melahap buku dibeli hingga khatam. Buku travelog hidayah itu ditulis dengan begitu jujur. Memang wajar dibaca terus-menerus hingga habis.

Bob Lokman, kali ini anda tidak berlakon sebagai ulamak. Anda memang benar-benar menuruti jalan ulamak. Semoga  berjaya. Orang Mersing menanti kunjungan anda sekali lagi.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Kaw Mersing, Mohd Zulkarami berura-ura mengundang seorang lagi bekas artis. Beliau ternyata berpuashati dengan program malam tadi yang turut disertai oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Sdr Khairl Faizi.

Tiada ulasan: