"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam kesal tindakan hospital biarkan jenazah remaja


KUALA LUMPUR: Kedua-dua Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) didakwa sengaja membiarkan jenazah remaja yang ditembak polis, Johari Abu bakar sebelum persediaan menjalankan bedah siasat kedua pagi ini.
Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, Latheefa Koya, pihak PPUM melengahkan pengurusan penyimpanan jenazah walaupun pihaknya menyerahkan surat perintah daripada mahkamah bagi bedah siasat tersebut.
Beliau juga kesal kerana jenazah,yang disimpan sejak pertengahan Mei lalu di Hospital Serdang hanya dibawa menerusi sebuah van jenazah biasa oleh hospital berkenaan.
“Sepatutnya pihak hospital Serdang mesti uruskan jenazah tersebut bukan dengan dibawa oleh van jenazah biasa kerana jenazah sudah disimpan lebih kurang dua minggu di hospital tersebut.
“Manakala karenah birokrasi PPUM pula menjadi masalah apabila jenazah dibiarkan  lebih kurang empat jam sebelum urusan penyimpanan jenazah diselesaikan sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, ” kata Latheefa ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Katanya lagi, ekoran kelambatan pihak PPUM menyebabkan mayat yang sudah disimpan lebih kurang dua minggu itu mula mengalami sedikit kereputan sehingga menimbulkan kemarahan pihak keluarga.
“Lebih kurang jam 7 petang, baru pihak PPUM menerima jenazah Johari untuk dibawa ke bilik mayat. Saya menyuruh keluarga mangsa supaya melihat keadaan mayat sebelum disimpan.
“Akibat terlalu lama dibiarkan, jenazah mangsa berlaku sedikit kereputan sehingga menimbulkan kemarahan pihak keluarga,” ujarnya.
Latheefa berkata, ekoran tidak menguruskan jenazah mengikut prosedur yang betul, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua hospital itu.
“Buat masa ini kita tidak putuskan apa-apa lagi, tapi mungkin kita akan ambil tindakan selepas membuat perbincangan dengan keluarga mangsa,” kata beliau.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa jenazah Johari akan dilakukan bedah siasat kedua pagi ini tetapi pihak hospital masih belum menghubunginya untuk mengesahkan perkara itu.
“Sehingga sekarang, saya tidak menerima panggilan daripada pihak hospital memberitahu bila bedah siasat akan dilakukan terhadap mangsa,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan bedah siasat kedua dijalankan di PPUM dengan kehadiran seorang pemerhati bebas.
Mohamad Johari Abu Bakar dilaporkan ditembak polis pada 15 Mei lalu di Dengkil, Selangor.
Polis mendakwa remaja berkenaan sedang bersembunyi di sebuah hotel bajet di Dengkil setelah mencuri Toyota Alphard di Kelana Jaya pada 7 Mei.
Keluarga mangsa bagaimanapun curiga dengan punca kematian anak mereka dan mendakwa tubuhnya penuh dengan kesan lebam serta lengannya patah.

Tiada ulasan: