"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu KUIN: PR boleh hilang talian hayat


Belumpun reda isu 17 orang mahasiswa Universiti Malaya yang diborong dengan prosiding tatatertib AUKU, Solidariti Mahasiswa Malaysia sekali lagi mengecam tindakan Kolej Universiti Islam Insaniah Kedah (KUIN) yang mengenakan tindakan tatatertib terhadap enam orang mahasiswa yang disabitkan dengan pertuduhan dibawah peruntukan undang-undang kolej universiti tersebut.

Antara pertuduhan yang dikenakan kepada enam orang mahasiswa tersebut ialah, pertuduhan mengadakan perhimpunan, pertuduhan melakukan kenyataan terbuka, pertuduhan menggunakan pembesar suara dan pertuduhan menghasut mahasiswa lain keluar daripada Kolej tersebut.

Dalam prosiding yang berlansung pada awal hari ini (25/5/2011), keenam-enam mahasiswa tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman seperti berikut:

1. Mohd Faiz B. Mohd Arshad: Digantung 2 semester pengajian.
2. Mohd Azlan Bin Mat Zain: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
3. Ahmad Remi Bin Mohd Arof: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
4. Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin: Surat Amaran dan Denda RM100.
5. Zukhilatif Bin Marzuki: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
6. Muhamad Aiman B. Che Abd Razak: Surat Amaran dan digantung 1 semester. 

PENDIRIAN SMM
SMM mengecam sebarang bentuk halangan dan sekatan terhadap aktivisme mahasiswa.  Tindakan menghalang mahasiswa daripada mengeluarkan pandangan dan kritikan adalah bercanggah dengan perkara 10 perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan kepada isi rakyat untuk bersuara dan melontarkan pandangan mahupun kritikan.  Hal ini pernah dinyatakan oleh pakar perlembagaan Malaysia dari Universiti Islam Antarabangsa, Abdul Aziz Bari dalam kenyataannya
"Secara umum peruntukan ini menyatakan bahawa warganegara Malaysia adalah berhak (untuk) bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.  Mereka juga berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.  Perkara 10 juga menyebut bahawa semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.  Peruntukan ini sangat penting di sisi demokrasi kerana ia mengkanunkan hak-hak yang amat asasi dalam demokrasi."

Mahasiswa menegaskan bahawa hak untuk bersuara dan berkongsi pandangan adalah hak asasi semua pihak yang tidak boleh diganggu dan disekat.  Menurut John Stuart Mill, seorang ahli falsafah politik liberal dari Britain, kebebasan bersuara perlu dipraktikkan dalam tiga aspek berikut iaitu:

a. Hak untuk mencari maklumat dan idea
b. Hak untuk mendapatkan dan idea
c. Hak untuk menyebarkan maklumat dan idea

Mahasiswa berpendirian untuk menyokong aspirasi Timbalan Menteri II Kementerian Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah yang menekan konsep kebebasan partisipasi belia dalam politik arus perdana.  Hal ini dapat dilihat dalam penulisan beliau yang menyatakan:

"Belia mempunyai imaginasi tersendiri terhadap partisipasinya dalam politik.  Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita.  Kita perlu menyelami minda mereka bukan sahaja untuk memperbaiki kefahaman kita, tetapi lebih penting lagi ialah untuk menghakupayakan mereka agar dapat mengoptimumkan potensi politik mereka."
SMM merasakan Pakatan rakyat khususnya PAS tidak serius dalam menanggapi kemelut autonomi mahasiswa KUIN.  KUIN yang berada dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya bertanggungjawab penuh dalam mewujudkan dan memelihara kuasa autonomi mahasiswa untuk dijadikan contoh kepada IPT lain.  Biarpun Gerakan Mahasiswa Insaniah bersama SMM sudah menghantar memorandum pada 13 Mei lalu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi menuntut campur tangan PAS dalam kemelut mahasiswa Insaniah, namun belum ada respon terbuka yang memperlihatkan pihak PAS menangani isu ini secara serius.

SMM mengambil pendirian untuk menyifatkan Pakatan Rakyat sebagai terlupa bahawa mahasiswa sebagai entiti penting yang menentukan survival politik Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang.  Jika Pakatan Rakyat tidak serius dalam menyelesaikan masalah ini, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk hilang percaya kepada PR dan memboikot PR dalam PRU13.

SMM juga berpendirian bahawa tindakan Menteri Besar Kedah Azizan Bin Abdul Razak (gambar kiri) yang seperti menutup mata terhadap isu mahasiswa KUIN ini sangat mencemarkan imej Pakatan Rakyat sekaligus bertentangan dengan aspirasi PAS sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip kebebasan.  Tindakan sambil lewa Menteri Besar Kedah ini akan memberi kesan buruk kepada manifesto yang bakal diumumkan oleh Pakatan Rakyat kepada mahasiswa.  Rakyat akan menjadikan KUIN sebagai bukti betapa PR juga akan mengekang dan menyekat kebabasan rakyat sekiranya diberi mandat untuk memerintah Malaysia.

TUNTUTAN SMM
SMM menuntut agar Rektor Kolej Universiti Insaniah Prof. Jamil Bin Osman menggugurkan semua pertuduhan dan menarik balik hukuman yang dikenakan ke atas enam orang mahasiswa tersebut.  Tindakan KUIN ini melambang sikap prejudis pentadbiran terhadap aktivisme mahasiswa yang sepatutnya dihadapi dengan cara lebih profesional.

Mahasiswa menuntut Presiden PAS Abdul Hadi Awang (menasihati Menteri Besar Kedah iaitu Azizan Bin Abdul Razak agar menanggapi aktivisme mahasiswa secara profesional dengan mendesak KUIN agar bersikap lebih terbuka terhadap aktivisme mahasiswa.

Mahasiswa juga mendesak PAS agar menambil tindakan serius terhadap Azizan Bin Abdul Razak sekiranya isu mahasiswa KUIN ini tidak diselesaikan segera.  Hal ini kerana sekiranya PAS tidak mengambil tindakan tegas, perkara ini akan memperlihatkan sikapdouble standard PAS dalam berhadapan dengan konsep kebebasan bersuara.  PAS sebelum ini lantang mengkritik Barisan Nasional yang gemar menyekat aspirasi anak muda, oleh itu Pas sepatutnya mengendalikan isu ini dengan lebih serius. Tindakan Menteri Besar Kedah bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada PAS bahkan lebih besar lagi akan menyebabkan segala manifesto Pakatan Rakyat akan tercemar. 

Mahasiswa juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersikap proaktif dalam mengambil tindakan atau teguran terhadap mana-mana IPTA mahupun IPTS yang mengenakan sekatan melampau terhadap aktivisme mahasiswa.

*Kenyataan oleh Ahmad Syukri Ab Razab selaku Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), disokong

1.Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)a.Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)
b.Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
c.Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN)
d.Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
e.Kelab Rakan Siswa Islam Malaysia (KARISMA)
f.Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
2.Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara
3.Legasi Mahasiswa Progresif UPSI (LMP)

Tiada ulasan: