MerdekaReview
menyelubungi seorang pemimpin politik veteran, Mohamad Sabu yang menyertai PAS sejak tahun 1977. 34 tahun daripada pemimpin yang berusia 56 tahun ini dicurahkan untuk perjuangan PAS. Kesetiaannya bersama parti sukar dipertikai, pada masa yang sama beliau juga sahabat akrab kepada pemimpin DAP yang menerajui tampuk pimpinan sekarang.
Lanskap politik tanahair berubah dilanda "tsunami" pada 8 Mac 2008. PAS dan DAP yang sering bertentangan pendirian dalam isu "Hukum Hudud" dipaksa untuk duduk semeja berikutan sentimen rakyat untuk menentang Barisan Nasional. Namun demikian, "Hukum Hudud" kekal sebagai isu kontroversi, khususnya apabila berdepan dengan masyarakat bukan muslim.
Mohamad Sabu mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud bukannya sesuatu yang senang, melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, dan hasrat ini perlu dirunding bersama dan direstui rakan-rakan partinya. Tetapi, beliau lebih mengambil berat bagaimana Islam diterjemahkan kepada "urus-tadbir yang baik", untuk peringkat ini.
"Boleh capai atau tidak (pelaksanaan hukum hudud), itu soal cita-cita," Mat Sabu sekali lagi berjenaka, "Macam kita-lah, nak kahwin seorang puteri. Mungkin kita tidak dapat puteri itu, kita dapat kahwin dengan kerabat diraja pun cukuplah!"
Anak muda Melayu teruja nak sertai DAP
Calon Timbalan Presiden PAS ini berkongsi pengamatan dan pengalamannya dalam senario politik pasca 8 Mac 2008. "Ramai anak muda Melayu berjumpa saya sekarang. Dia kata Pak Mat, bila Pak Mat nak join DAP? Kalau Pak Mat join DAP, kami akan bersama..."
Secara terus-terang Mat Sabu berkata, pembangkang tidak boleh hanya mendakwa dirinya menentang Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan sesuatu apabila menguasai kerajaan negeri. Mat Sabu menganggap ini adalah kehendak orang ramai, dan beliau amat bimbang seandainya PAS tidak merobah konsep ini.
Meskipun diserang bertubi-tubi dengan media kawalan UMNO, namun Mat Sabu berkata pemerintahan DAP di negeri Pulau Pinang berjaya menonjolkan ciri-ciri atau nilai Islam, jika dilihat dari substance (intipati) dan bukan form-nya (bentuk luaran). Malah beliau memberi peringatan bahawa jangan terperanjat seandainya terdapat anak tokoh PAS peringkat negeri bertanding atas tiket DAP dalam pilihan raya umum yang akan datang!
Mat Sabu ingin berkongsi idea-idea ini dengan PAS, kerana beliau menganggap seandainya PAS berjaya menjelmakan Islam kepada urus-tadbir yang baik, maka mungkin komuniti bukan Islam tidak bermasalah untuk menyokong PAS. "Kalau keadilan ini tak dapat dipamerkan dahulu, macam mana mereka lihat keadilan yang lain?"
"Kalau ditonjolkan Melayu sebagai Islam, orang Cina melihat apa yang ada pada Melayu? Ini yang saya nak fikirkan," kata Mat Sabu dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di Hotel Armada Petaling Jaya, semalam.
Enggan telan bulat-bulat pemikiran yang disogokkan
"Saya dalam memahami politik ini, saya membaca, termasuklah buku-buku Lenin,Mao Ze Dong, dan dalam Islam, Ikhwan Muslimin dan sebagainya," katanya. Mat Sabu mungkin pemimpin PAS yang paling rapat dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sehingga ada yang berjenaka bahawa hubungan PAS dengan DAP dan PSM akan bertambah baik seandainya Mat Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden.
Mat Sabu menolak untuk menelan sesuatu konsep secara bulat-bulat, misalnya Komunis dikaitkan dengan jijik, bunuh orang dan sebagainya - yang ditanamkan oleh penjajah British dan pemerintah selepas merdeka kemudiannya.
Mat Sabu pernah mengutarakan pandangan-pandangan yang "menggemparkan", untuk masyarakat Melayu-Muslim, misalnya berkata orang Melayu seharusnya berterima kasih kepada Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM).
"Saya tidak suka disogok begitu, tanpa kita buat sedikit kaji selidik (research). Saya rapat dengan, dari awal dulu, dengan Syed Husin Ali (bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia), Dr.Nasir Hashim (Pengerusi PSM)..." secara terus-terang Mat Sabu berkata, pertukaran regim pemerintahan bergantung kepada kuasa rakyat.
Mat Sabu mengakui bahawa dalam isu-isu seperti fahaman komunis, institusi Raja, malah agama, PAS kadang-kala terikut-ikut dengan rentak UMNO, malah termakan dengan retorik itu. Beliau menganggap masalah yang paling besar didepani masyarakat Melayu sekarang adalah "pemikiran".
"Masalah pemikiran yang susah nak sebut... Pergi kepada Islam yang ditafsirkan dalam satu aliran. Tidak terbuka untuk berbincang dengan aliran lain," katanya yang mencadangkan agar setiap aliran dan fahaman dikaji dan bukan ditolak begitu sahaja.
"Saya amat tidak bersetuju, di Malaysia ini, dia letakkan Islam itu seolah-olah agama Melayu. Melayu itu Islam. Melayu berugama Islam saya amat bersyukur. Tapi nilai Islam ini, jauh lebih berada dalam kalangan orang Cina berbanding dengan orang Melayu."
Mat Sabu menjelaskan selanjutnya, bahawa sikap seperti kerja kuat, tidak bergantung kepada pertolongan subisidi, berdikari dan sebagainya dalam kalangan Cina ini adalah penjelmaan nilai Islam, cuma masyarakat bukan Islam ini tidak menerima Allah sebagai Tuhan mereka. Malah, beliau menyifatkan warga Jepun sebagai "umat Islam sejati", kerana tidak merampas makanan, beratur untuk dapatkan bantuan, menghormati hak orang lain dan sebagainya selepas masyarakat itu dilanda tsunami.
Beliau menolak "semangat asabiyah", misalnya kaum Islam dan Melayu tetap dibela walaupun telah melakukan kesilapan. (Bahagian pertama, bersambung)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan