"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis bersekongkol dengan samseng Umno ganggu Himpunan Hijau Pulau Pinang

Aedi Asri
PULAU PINANG 27 Feb: KEADILAN menyifatkan polis bersekongkol dengan samseng UMNO yang mencetuskan kekacauan di Himpunan Hijau 2.0 yang berlangsung di Sudut Pidato, Padang Kota, Pulau Pinang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin berkata, polis yang berada di tempat kejadian tidak mengambil sebarang tindakan untuk meleraikan kekecohan yang berlaku.

“Sememangnya menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keamanan. Adakah kerana pihak pengacau adalah ahli UMNO, maka polis hanya berdiam diri?” soal Sim ketika dihubungi Keadilandaily.

Beliau juga mengatakan alasan polis yang tidak berbuat apa-apa kerana tidak dimaklumkan lebih awal berkenaan program itu adalah tidak meyakinkan.

“Insiden ini bukanlah kali pertama berlaku di Pulau Pinang, malah sudah terlalu kerap berlaku tanpa sebarang tindakan dari pihak polis,” ujar beliau.

Pulau Pinang adalah di antara lokasi Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di luar Kuantan untuk membantah operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Selain daripada Pulau Pinang dan lokasi asal di Kuantan, satu lagi lokasi Himpunan Hijau 2.0 adalah di Maju Junction, Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur dan Kuantan himpunan itu berlangsung tanpa sebarang kekacauan namun keadaan sebaliknya berlaku di Pulau Pinang.

Kira-kira 50 orang samseng Umno menerjah peserta himpunan, menjerit dan mengancam orang ramai serta melaungkan slogan seperti “Hidup UMNO”.

Mereka turut naik ke pentas dan menghamburkan kata-kata kesat ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi ucapan.

Insiden ini mengakibatkan beberapa kecederaan, antaranya adalah wartawan akhbar harian Kwong Wah Jit Poh, Adam Chew yang terpaksa menerima lapan jahitan di tangan kanan.

Bercakap lanjut, Sim turut mencabar pemimpin-pemimpin UMNO untuk tampil ke hadapan dan memberi jawapan berkenaan siri kekacauan yang sering berlaku di program-program Pakatan Rakyat.

“Mereka harus menyatakan pendirian mereka, bukan berselindung di belakang polis sahaja”, ujar Sim lagi.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman pula menambah, UMNO terpaksa menggunakan cara samseng dan ganas kerana maklum akan kesukaran untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat Pulau Pinang.

“Mereka mencetuskan huru-hara supaya rakyat negeri berasa takut dan menganggap Pulau Pinang kini sudah tidak aman.

“Selalunya orang yang terlibat membuat kacau ini orang yang sama – kerana mereka memang datang dari pihak yang sama” Jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: