"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Api misteri ekori gadis selama 2 tahun

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dari Kampung Penambang Bunga Emas, di sini, hidup tidak keruan sejak dua tahun lalu apabila mendakwa diekori ‘api misteri’ yang sehingga kini menyebabkan beratus pakaian, berpuluh helai kain serta beberapa tilam, bantal dan telefon bimbit di rumahnya terbakar secara tiba-tiba.

Wan Norfatihah Wan Hanafi, 14, berkata, susulan kejadian itu, dirinya kini umpama ‘gadis api’ dengan ibunya, Rafeah Zakaria, 42; neneknya, Zainab Sulaiman, 75, dan dua adik-beradiknya, Wan Mohd Faiz,16, dan Wan Nurfatini, 12, turut sengsara berdepan permasalahan misteri itu.

Katanya, api misteri itu boleh muncul di mana-mana saja dia berada termasuk ketika berada di rumah jiran.

“Saya sudah letih berdepan masalah misteri ini. Sudah beratus bomoh dan pengamal perubatan tradisional datang ke rumah untuk membantu, namun masalah itu tidak berjaya ditangani sepenuhnya.

“Malah, paling lama masalah itu selesai hanya bagi tempoh beberapa minggu.

Selepas itu, api misteri yang seolah-olah sentiasa mengekori saya muncul semula,” katanya, ketika ditemui Harian Metro di rumahnya.

Tiada ulasan: