"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin Nasution menafikan memberi surat tunjuk sebab pada MB S’gor

Fazy Sahir
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan laporan bahawa parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu Setiausaha Politiknya, Faekah Husin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyangkal laporan seperti yang dikeluarkan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini.

“Tidak benar laporan tersebut. Malah parti tidak mengeluarkan sebarang surat tunjuk sebab kepada Menteri Besar Selangor,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada FMT.

Akhbar itu memetik sumber berkata, mesyuarat biro politik PKR pada Ahad lalu mencapai keputusan untuk mengeluarkan surat kepada Abdul Khalid.

Surat itu kononya dikeluarkan melalui Saifuddin selaku Setiausaha Agung parti.

Biro itu juga dilaporkan berpendapat bahawa kerajaan Selangor tidak sepatutnya mengamalkan pilih kasih dalam isu surat sokongan ekoran terdapat pihak yang dipecat kerana amalan sama.

Abdul Khalid sebelum ini terus mempertahankan tindakan Faekah yang didakwa menghantar surat agar sebuah firma guaman dipertimbangkan menjadi panel peguam di syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Bagaimanapun Abdul Khalid menjelaskan tindakan Faekah tidak menyalahi etika kerana surat itu hanya untuk ‘pertimbangan’ syarikat berkenaan.

Beliau sebaliknya berkata, firma guaman yang didakwa mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Faekah, tidak mendapat sebarang projek kerajaan negeri.

Tiada ulasan: