"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rosmah: Seremban-KL naik bas Foh Hup, KL-Qatar guna jet eksekutif

Aspan Alias

Dewan Rakyat kini, bergema tentang isu pembiayaan jet eksekutif swasta untuk lawatan isteri yang ayu dan genit kepada Perdana Menteri Najib ke Qatar baru-baru ini. Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang isu ini kerana ia melibatkan wang rakyat yang berjuta ringgit.

Komen saya mudah. Sesungguhnya terbang dengan jet eksekutif itu adalah syurga bagi setengah orang. Ramai yang keluar dari kampung sememangnya susah hendak dikawal kerana mereka ini selalu akan mengusung sikap kekampungannya ke mana-mana dia pergi.

Rosmah, hanya seorang isteri dan menyibuk untuk melawat negara lain di atas nama lawatan rasmi itu, tidak kena dan sangatlah gila tindakan itu. Kita mesti ingat, dan saya ulangi, membawa keluar seseorang dari kampung itu kerja mudah, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari dirinya itu adalah satu usaha yang susah.

Bagi wanita kampung ini, kalau hendak terbang mesti dengan jet eksekutif. Kalau hendak menginap di hotel, hotel itu mesti bertaraf sepuluh bintang dan sewaan biliknya mesti puluhan ribu ringgit semalam. Bilik sewaannya mesti besar-besar, bilik yang boleh berlari-lari dengan suami atau dengan anak dan cucu. Bagi saya, besar mana pun tubuh seseorang itu dia tidaklah perlu bilik yang sebesar itu.

Apa pun yang mereka seperti ini lakukan, selalunya mereka akan terlupa duit siapa yang mereka belanjakan itu. Bukan Rosmah seorang sahaja isteri Perdana Menteri di dunia ini. Dalam dunia ini ada ratusan isteri Perdana Menteri, tetapi tidak pula kita mendengar dengan isteri PM negara lain yang berbelanja seperti ini. Dulu ada kita dengar isteri seorang Presiden yang bernama Imelda dari Filipina yang berbelanja seperti membelanjakan harta mak bapak dia sendiri.

Kalau kita kaji dengan teliti, Imelda datangnya dari sebuah perkampungan di utara Manila yang jauh dari kawasan perbandaran. Rosmah pula datang dari kampung di Negeri Sembilan dan bukannya dari bandar mana pun. Jadi persamaan latar belakang ini membuatkan mereka berdua ini mempunyai ‘attribute’ yang sama. Mereka ini boros dan tidak mempunyai had apabila membelanjakan wang orang lain terutamanya wang rakyat.

Seperti juga Imelda, Rosmah tidak pula saya dengar yang beliau sememangnya terlalu biasa menaiki jet eksekutif sejak kecil. Tetapi kalau kita tengok cara beliau melawat ke mana-mana negara lain, beliau menaiki jet eksekutif dan tidak menaiki pesawat nasional kita MAS.

Kekerapan beliau berjalan dengan jet eksekutif ini seolah-olah beliau, sejak lahir ke dunia ini sememangnya terbang ke mana-mana dengan jet eksekutif dan tidak pernah menaiki pesawat MAS, SIA atau pesawat tambang murah seperti Air Asia dan Malindo Air.

Tetapi kalau tidak salah mata saya memandang, saya pernah melihat beliau ini pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki bus Foh Hup sampai ke Foch Avenue dekat Jalan Silang Kuala Lumpur. Saya sendiri berada dalam bas itu. Orang-orang muda sekarang tidak pernah tahu di mana Foch Avenue itu. Hanya yang tua-tua seperti saya atau Rosmah sahaja yang mungkin masih ingat di mana Foch Avenue itu.

Betullah ramai orang yang berubah kehidupan mereka dan menjadi kaya raya. Tiger Woods, salah seorang daripadanya. Tetapi Tiger mendapat kekayaannya dengan kemahirannya bermain golf sampai beliau berjaya menjadi pemain golf nombor satu dunia. Beliau sekarang mempunyai jet eksekutif sendiri dan istananya sendiri sehingga beliau mempunyai sebuah pulau untuk beliau berehat dengan keluarga dan rakan-rakannya.

Tetapi yang seorang ini hanya seorang isteri Perdana Menteri dan boleh pula memohon kabinet meluluskan permohonan beliau untuk menggunakan jet eksekutif untuk keluar negara dan dibiayai oleh wang rakyat. Kabinet pula, kata Shahidan Kassim, telah meluluskan permohonan ini. Persoalannya sekarang kenapa kabinet meluluskan permohonan seperti ini dengan mudah sedangkan lebih banyak lagi permohonan rakyat belum lagi diambil tindakan oleh kabinet.

Jika tindakan Rosmah ini menyalahi moral dan undang-undang kenegaraan maka kabinet keseluruhan wajar mengambil ‘accountability’ terhadap isu ini. Justeru itu seluruh kabinet wajar meletakkan jawatan kerana mereka adalah kabinet yang tidak bertanggungjawab.

Itulah bunyinya komen pendek saya. Harap mereka yang mendesak saya memberi komen itu berpuas hati. 

Tiada ulasan: