"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Papa Gomo yang terkecut menafikan dia adalah 'Papa Gomo'

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor KL Pos Media & Production Sdn Bhd Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog 'Papa Gomo'.
Beliau membuat penafian itu di Mahkamah Tinggi pada pendengaran kes saman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung paparan video seks ketua pembangkang berkenaan dengan seorang lelaki.

Wan Muhammad Azri, 31, juga menafikan beliau adalah penulis, penerbit dan penyebar artikel atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar dalam blog www.papagomo.com.

"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel itu dan imej-imej tersebut. Blog saya adalah Malayrights.blogspot.com dan bukannya 'Papa Gomo'," katanya ketika disoal peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar.

Bekas anggota polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau pernah ditangkap, ditahan reman dan disoal siasat berhubung laporan polis terhadap blog 'Papa Gomo' sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, Anwar memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri dalam artikel berkenaan adalah fitnah dan penyiaran imej serta artikel dalam blog itu memberi kesan buruk terhadapnya sebagai seorang pemimpin politik.

"Ia memberi kesan buruk terhadap persepsi rakyat Malaysia, terutama orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini, terhadap saya dan perkara seperti ini dipandang hina oleh masyarakat di negara ini, terutama masyarakat Melayu," katanya.

Beliau berkata meskipun penyebaran artikel berkenaan menyaksikan majoriti undi kepadanya bertambah pada pilihan raya umum lepas, ia tetap memberi kesan negatif.

Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop bersambung hari ini./Bernama

Tiada ulasan: