"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Yusni Mat Piah tak belajar dari hilang deposit di PRU13

cheguBard
Dua hari lepas apabila membaca kenyataan Yusni Mat Piah mengenai semua jentera pemuda Pulau Pinang berehat sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, respon saya cuma satu: Yusni Mat Piah ini tidak belajar daripada hanya perolehi 600 undi dan hilang deposit pilihan raya umum (PRU) lepas.
PRU lepas, saya menerima arahan PKR untuk bertanding di DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang) dengan tugasan membawa suara membongkar dan menyerang kemunafikan Umno yang berselindung di sebalik laungan 'Hidup Melayu'.

Pimpinan PKR memutuskan perlunya suara keras Adun Melayu dalam DUN Pulau Pinang bagi membunuh sentimen perkauman yang penuh penipuan.

Saya setuju dan ambil amanah itu. Namun saat hampir penamaan kedengaran PAS juga mahu meletakkan calon malah PAS mengumumkan Yusni Mat Piah sebaik sahaja nama saya diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan PKR ketika itu.
Saya cuma bersetuju untuk meneruskan menghantar borang pencalonan apabila diberi jaminan oleh pimpinan PAS yang semuanya akan selesai dan semua akan akur dengan keputusan Pakatan Rakyat, kerusi itu milik PKR.

Namun pada hari penamaan calon semuanya bertukar dan berlaku pertandingan 3 penjuru.

Saya mengambil inisiatif saya sendiri di tengah kehangatan berkempen untuk menemui pimpinan PAS kawasan bagi membincangkan penyelesaian. Kesimpulan dari pertemuan tersebut ialah :

PAS perlu bertanding juga kerana sudah lama terhina menyebabkan beberapa tokoh pemuda terpaksa rapat dengan Umno seperti Mazlan Ismail, Hafiz Nordin dan beberapa lagi.

PAS meneruskan bertanding kerana walaupun ada pengumuman tarik diri, tetapi arahan rasmi tidak dikeluarkan.

Namun bisik-bisik di kalangan ahli PAS mengakui PAS sukar menang tetapi kena pastikan PKR tidak memenangi kerusi DUN Sungai Acheh untuk memastikan PKR tidak berkubu di situ sedikit sebanyak menyebabkan ramai jentera dan pendokong PAS setempat bersama PKR dan saya untuk berdepan dengan calon Umno.

Ramai juga jentera PAS, khususnya yang muda, meragui adakah wajar PAS bertanding 3 penjuru ketika itu kerana kehadiran pimpinan Umno termasuk calon Umno DUN Sungai Acheh dalam beberapa program PAS juga ketika saat akhir sebelum pencalonan dan ketika kempen pilihan raya. Ini dimaklumkan sendiri kepada saya dengan disertakan dengan gambar.

Saya yang seharusnya ditugaskan menggempur kawasan pengundi Melayu di sekitar Pulau Pinang sepanjang PRU lepas sedikit terganggu fokus kerana terpaksa menyusun semula kempen selepas 3 penjuru terjadi. Namun saya tetap ke beberapa kawasan termasuk kawasan PAS bertanding di dalam Pulau Pinang.

Ramai di luar Sungai Acheh mungkin terpadaya dengan pengumuman kononnya PAS menarik diri di DUN Sungai Acheh, namun hakikatnya, selepas pengumuman tersebut mereka terus mempertingkatkan jentera mereka dengan lebih agresif.

Saya tidak mampu menyelindungkan kecewa bila kempen menyerang saya secara peribadi dan PKR berlebih sehingga serangan kepada Umno itu langsung seperti tidak kedengaran.

Kempen menyerang peribadi ini juga sangat lucu sehingga menyatakan yang saya ini tidak se-Islam jika dibandingkan Yusni .

Pengundi kena memilih Yusni kerana jika ada kematian jika Yusni Adun dia akan mampu menguruskan jenazah, mengimamkan solat dan mentalkinkan. Lucu sekali garis kempen mereka.

Itu belum lagi usaha kempen menggunakan gambar Lim Guan Eng dengan berlogo PAS dan tanda pangkah seolah Lim Guan Eng calon PAS itu. Bahan kempen ini ditunjukkan oleh seorang wartawan kepada Guan Eng dalam lawatan kempen beliau ke DUN Sungai Acheh.

Soalan wartawan itu disambut gelak tawa termasuk Guan Eng sendiri. Meneliti strategi kempen ini, Yusni sendiri akui perlunya ada pakatan dengan DAP tetapi bila di luar usaha merauih undi rakyat dia sangat angkuh sekali.

Saat-saat akhir juga jentera Yusni mula memanjangkan bisik-bisik tuduhan presiden PAS mengenai komunis dan pil kuda.

Walaupun PAS Pusat umum tarik diri, namun PAS Sungai Acheh tetap meneruskan kempen dalam satu ceramahnya dua hari sebelum mengundi, Yusni sendiri secara sombong memetik nama-nama seperti Nasarudin Tantawi yang mengarahkan dia untuk terus berkempen.

Pada hari pengundian, jentera Yusni bertungkus-lumus membuka pondok panas, cuma peliknya ia hanya dibuka di kawasan Umno lemah mungkin hanya untuk memastikan undi PR pecah kerana di kawasan peti undi Umno kuat jentera Yusni tidak membuka pondok panas.

Akhirnya keputusan undian dari 15,559 pengundi yang keluar mengundi 89.2% dari jumlah tersebut Undi calon Umno ialah 44.2%, undi saya sekitar 40% dan Yusni dengan jenteranya yang angkuh akhirnya hanya mendapat 4.4% undi hanya 600 lebih undi dari 15,559 pengundi berdaftar.

Selebihnya ialah undi rosak kerana sudah tentu sama ada yang merosakkan kertas undi ini marah dengan PR yang tidak boleh selesaikan isu calon atau kecewa.

Apa yang saya belajar dari keputusan ini:

PKR atau PAS mahupun DAP tidak mampu berdiri sendiri lebih lebih lagi bertembung sesama sendiri jika ini berlaku ia kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Jentera khususnya orang muda celik politik, saya tidak didokong jentera PKR semata-mata, tetapi saya dibantu juga oleh kawan-kawan PAS yang melihat kepentingan menjatuhkan Umno BN itu lebih penting diutamakan dahulu selain jentera rakyat biasa yang bencikan Umno BN.

Selain itu, hormati juga kelompok yang bukan ahli mana-mana parti PR tetapi memberi undi kepada PR kerana benci dengan BN.

Saya percaya dan yakin Yusni juga merupakan orang yang terpelajar dan kaya dengan pengalaman politik pilihan raya ini. Namun apabila melihat kenyataan dia merehatkan jentera tersebut nampak dia tidak belajar dari pengalaman pahit 3 penjuru di Sungai Acheh.

Nasihat saya kepada Yusni, sudah-sudahlah dendam sempit itu. Ego politik dengan mengenepikan kepentingan rakyat. Ingat dan lihatlah rakyat di luar sana.

GST yang menghimpin, undang-undang yang menindas, agihan ekonomi yang tidak serata dan rakyat memerlukan kita bersatu melawan bagi pihak mereka.

Kamu bercakap soal wala' tetapi kini kamu sendiri tidak wala' dengan arahan pimpinan atas?

Adakah mahu percaya dengan kemenangan Umno di Permatang Pauh ia dapat merialisasikan cita-cita kamu melaksanakan hudud?

Adakah ia benar kerana mahu laksana hudud atau ada agenda tersirat lain?

Kepada jentera PR atau penyokong jangan diserang PAS percaya dan yakinlah Yusni ini tidak semampu mana mengawal jentera dan undi PAS, jika tidak mana mungkin hanya 4.4% undi sahaja dan hilang deposit di kawasan yang mana keanggotaan PAS jauh tinggi dari itu.

Yakinlah ramai dalam PAS itu cerdik dan memahami keutamaan cuma ada seorang dua yang menggelar diri mereka pemimpin tetapi termain emosi atau tertipu terpesona. Sekian. – 28 April, 2015.

* Penulis ialah calon PKR-PR DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang) PRU13.

Tiada ulasan: