"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan suami isteri ‘buang’ amah ke hutan

Gombak: Sepasang suami isteri diberkas polis selepas didapati mendera teruk seorang pembantu rumah yang diambil bekerja sebelum membuang mangsa ke dalam hutan.

Pasangan majikan kejam itu dikesan membelasah mangsa berusia 23 tahun menggunakan besi dan kayu dengan alasan tidak berpuas hati dengan cara mangsa bekerja.

Mangsa yang berasal dari Batak, Indonesia dikatakan baru bekerja dengan pasangan majikan berusia 30-an itu di rumah mereka di Batu Caves di sini, sejak 10 Mac lalu.

Majikan mangsa yang juga seorang penjawat awam dikatakan kerap memukul mangsa sebelum ditinggalkan bersendirian di Hutan Ulu Yam di sini, pada 19 April lalu.

Mangsa ditemui orang awam dalam tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa jam 9.30 pagi pada hari kejadian.

Menurutnya, mangsa dirujuk ke Hospital Selayang, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa diambil bekerja sebelum diarahkan menjaga dua anak majikannya berusia tiga tahun dan tujuh bulan.

“Mangsa mengaku dibelasah menggunakan besi oleh majikannya. Suspek kemudian menutup mata mangsa dengan kami sebelum dibawa menaiki kereta ke kawasan hutan itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek berjaya dijejaki dan ditahan polis pada 20 April lalu.

“Suspek lelaki terbabit ditahan reman tujuh hari sehingga 28 April depan manakala suspek wanita dilepaskan dengan ikat jamin polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
-hmetro-

Tiada ulasan: