"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat bayar bil elektrik tinggi demi selamatkan 1MDB

Rakyat Malaysia akan terpaksa membayar lebih untuk bekalan elektrik bagi menyelamatkan dana pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mendapat beberapa konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) menguntungkan, tanpa perlu melalui proses tender terbuka, kata DAP hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata satu loji tenaga gas turbin dengan gabungan kitaran 2, 400MW dan ladang solar 50MW diserahkan kepada 1MDB tahun lepas, ditambah pula dengan satu loji kuasa arang batu 2,000MW yang diberikan pada Februari.

Katanya, projek itu diberikan kepada 1MDB sedangkan YTL Power membuat tawaran tarif yang paling rendah, sambil menambah YTL Power dikatakan ‘hilang kelayakan dari sudut teknikal’.

"Pemberian tender secara langsung itu jelas bertentangan dengan dasar umum yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga iaitu melaksanakan amalan tender terbuka bagi menggalakkan persaingan dalam industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Tarif elektrik akan jadi lebih tinggi bagi rakyat Malaysia pada masa depan kerana kerajaan akan memberikan 1MDB tarif yang lebih lumayan bagi membuat lebih banyak keuntungan, membantu firma yang sedang bermasalah itu membayar hutang RM42 bilion.

"Jika tidak, mengapa kerajaan mengetepikan proses tender terbuka sekiranya sejak awal, 1MDB akan menawarkan tarif terendah," katanya.

Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, keadaan menjadi bertambah buruk apabila kerajaan bersetuju menaikkan kadar tarif bagi loji kuasa 1MDB sebelum ia mula dibina.

The Edge Financial Daily pada Isnin lalu melaporkan Suruhanjaya Tenaga meluluskan kenaikan tarif bagi loji tenaga solar daripada 41 sen per kWh kepada 50 sen per kWh.

"Ia merupakan kenaikan mendadak tarif elektrik sebanyak 22% dibuat dalam tempoh setahun selepas projek itu dianugerahkan melalui rundingan terus.

"Bekalan tenaga itu akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang kemudiannya akan memindahkan beban kos itu kepada pengguna," kata Pua.

Beliau juga mengulangi kenyataan rakannya Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Dr Ong Kian Ming, yang kadar tarif pada 50 sen itu lebih tinggi daripada 49 sen yang dianugerahkan kepada loji solar yang lebih kecil bersaiz antara 10MW dan 30MW melalui pembidaan kompetitif.

"Tepat seperti katanya (Ong), ladang solar yang lebih besar pada 50MW secara logiknya tentu akan menikmati skala ekonomi yang lebih tinggi, membolehkannya menawarkan harga yang lebih murah.

"Di samping itu, dengan harga panel solar photovoltaic dunia yang menjunam turun, tarif sepatutnya turun dari masa ke masa, bukannya naik sampai 22%."

Katanya, laporan Financial Daily juga mengatakan 1MDB dalam proses "melupuskan" bidaan bagi projek loji tenaga pembakaran arang batu 2,000MW yang dimenanginya melalui tender terbuka secara kontroversi, mengalahkan bidaan terendah YTL Power.

"Ini kerana, 1MDB yang dibebani hutang dan kekurangan dana tidak cukup kewangan membiayai projek itu. Malah, tidak ada bank yang sanggup meminjamkan wang lagi kepada syarikat itu."

Pua mendakwa, daripada membatalkan pemberian lesen kepada 1MDB kerana melanggar terma konsesi, Suruhanjaya Tenaga sebaliknya membenarkan 1MDB membuat keuntungan daripada pemberian lesen itu dengan menjual haknya kepada TNB.

Katanya, Putrajaya sepatutnya membatalkan semua konsesi loji tenaga yang dianugerahkan kepada 1MDB baru-baru ini, kerana syarikat itu gagal menjana dana untuk memulakan pembinaan projek itu.

Beliau berkata, projek janakuasa itu sebaliknya perlu diberikan secara tender terbuka dan dengan cara yang telus kepada syarikat lain yang berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Bagaimanapun, kerajaan memilih untuk pura-pura meningkatkan keuntungan 1MDB bagi menutup kerugian berbilion ringgit yang dialami syarikat itu.

"Yang rugi ialah rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung harga elektrik yang lebih tinggi ditambah dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan baru-baru ini.

"Ini membuktikan apa yang saya katakan beberapa kali sebelum ini benar, iaitu rakyat biasa dirompak kerana terpaksa membayar harga elektrik yang lebih tinggi untuk menyelamatkan 1MDB," kata Pua. – 22 April, 2015

Tiada ulasan: