"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesta bogel di Taman Negara P.Pinang dapat kebenaran

BALIK PULAU: Mahkamah Majistret di sini diberitahu hari ini bahawa petugas Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang memberi kebenaran kepada sekumpulan pelawat yang meminta untuk tidak berpakaian ketika mengadakan aktiviti di pantai Teluk Kampi di taman itu.

Pekerja Rendah Awam Sharudin Isa, 41, berkata, dia membenarkan mereka berbuat demikian dengan syarat perlu mengenakan semula pakaian jika ada pelancong lain di kawasan itu.

"Seorang wanita berambut pendek datang kepada saya meminta kebenaran untuk bermalam di situ dan meminta bagi pihak kumpulan itu, kebenaran untuk tidak berpakaian.

"Pada masa itu, lebih kurang 15 orang ada di situ.

"Saya benarkan dan minta mereka memakai semula pakaian jika ada pelancong lain di situ.

"Hari itu hanya saya seorang sahaja yang bertugas menjaga pos kawalan di pantai Teluk Kampi dan tidak ada pelancong lain selain mereka," kata saksi keenam itu di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Sharudin berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Mahadi berhubung kes empat individu didakwa menyertai pesta bogel di Teluk Kampi, Taman Negara itu pada 30 Mei dua tahun lalu.

Pada 28 Ogos 2014, tiga wanita iaitu Chew Tok Hwa, 59; Chan Chia Wen, 29; Teh Guan Hoon, 39; serta seorang lelaki, Kong Meng Leong, 40; mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di Pantai Teluk Kampi.

Kejadian berlaku antara pukul 3 dan 6 petang, 30 Mei dua tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama enam lagi individu - Loh Kok Hong, 43; Mu Wai Peng, 36; Justin Ang Ji Keng, 26; Yam Kam Hoong, 56; Lionel Loo Joo Heng, 54; dan R. Nanda Kumar, 42.

Bagaimanapun enam individu terbabit mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan.

Ditanya apa lagi yang berlaku pada hari kejadian, Sharudin yang berkhidmat selama 12 tahun dengan Taman Negara itu berkata, mereka mengadakan aktiviti di tepi pantai pada sebelah petang sebelum mengadakan aktiviti di dewan serbaguna yang berdekatan pada sebelah malam.

"Mereka tidak membawa khemah dan meminta kebenaran untuk menggunakan dewan serbaguna yang terdapat di situ.

"Saya benarkan mereka gunakan (dewan). Mereka juga meminta kebenaran untuk membuat unggun api dan saya beri mereka zink untuk alas unggun api. Selepas itu saya kembali ke pos kawalan.

"Saya lihat mereka menari mengelilingi unggun api dalam keadaan tidak berpakaian. Saya nampak lelaki dan wanita yang tidak berpakaian...mereka beraktiviti di dewan itu sehingga lewat malam," katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Chew, Chan dan Kong kemudian bangun mempersoalkan waktu kejadian berikutan saksi mengatakan nampak kesemua tertuduh tidak berpakaian pada sebelah petang dan malam sedangkan kertas pertuduhan menyebut waktu kejadian antara pukul 3 dan 6 petang.

Shafiq kemudiannya memohon pindaan lisan kepada pertuduhan untuk menukar waktu kejadian kepada antara pukul 3 petang hingga 11 malam.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapat persetujuan pihak pembelaan dan pertuduhan dibacakan semula kepada keempat-empat tertuduh.

Ketua Unit Pendakwaan, Datuk Razali Che Ani turut mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Jason Khor mewakili Teh.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung 15 April depan.
-Bernama-

Tiada ulasan: