Azizi Majid
am@hmetro.com.my
Pontian: Alasan mahu menjenguk anak tidak dapat menyelamatkan seorang lelaki daripada ditahan bersama bekas isterinya selepas disyaki berkhalwat dalam pemeriksaan di sebuah rumah di daerah ini, awal pagi tadi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan, berkata pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 1.40 pagi selepas pihaknya menerima aduan awam.
"Pemeriksaan di rumah wanita itu mendapati lelaki berkenaan berada dalam kediaman terbabit bersama bekas isterinya.
"Turut berada di rumah itu dua anak pasangan berkenaan yang sedang tidur di ruang tamu ketika pemeriksaan dilakukan," katanya.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati kedua-duanya bekerja di daerah ini dan pernah mendirikan rumah tangga sebelum bercerai lebih setahun lalu.
"Lelaki terbabit memberi alasan datang ke rumah itu untuk menjenguk anak mereka. Bagaimanapun, waktu kunjungan pada awal pagi ketika anak sedang tidur menimbulkan syak terhadap tujuan sebenar kehadirannya di rumah terbabit," katanya pasangan berkenaan turut dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk kembali mendirikan rumah tangga melalui ikatan pernikahan yang sah sekiranya masih mempunyai perasaan antara satu sama lain.
Pasangan itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan