"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu MB Perlis: Polis siap hadapi situasi luar jangka

Polis Perlis bersedia dengan pelan kontingensi bagi menghadapi situasi luar jangka berikutan kemelut yang berlaku susulan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis yang tidak mendapat sokongan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias berkata beliau juga telah mengarahkan supaya kawalan keselamatan di kawasan Istana Arau dipertingkatkan.

Beliau ditemui pemberita semasa menyertai delegasi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Ops Pasir 2018 di Sabah bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Azlan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis hari ini.

Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang media di Kuala Lumpur petang ini mencadangkan kepada pucuk pimpinan Umno pusat supaya memecat Azlan sebagai anggota Umno.

Tindakan Shahidan itu mendapat reaksi netizen yang memberi pelbagai komen ‘nakal’ dan juga provokasi.

Sehubungan itu, Azisman mengingatkan orang ramai dan netizen supaya mengawal kelakuan mereka dan tidak membuat komen-komen jelik atau menghina raja atau institusi diraja.

“Saya berharap biarlah isu kepimpinan dibincang oleh mereka yang terbabit, semoga isu ini diselesaikan dengan berhikmah dan tidak terpalit kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini keadaan terkawal dan polis belum menerima sebarang aduan berkaitan terganggu oleh mana-mana pihak atau individu.

“Kakitangan istana bolehlah mengambil “screenshot” kenyataan-kenyataan menghina yang ditularkan di laman sosial sebagai bahan bukti untuk kita siasat”, katanya.

Azlan, 60, yang merupakan ADUN Bintong, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN berjaya mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala parti Pakatan Harapan tiga kerusi dan PAS dua kerusi.
-Bernama

Tiada ulasan: