Malaysia Dateline
Pemuda AMANAH Nasional (AMANAH) menyarankan agar lebih ramai figura seperti pendakwah Ebit Lew dilahirkan di Institusi-institusi Agama Islam di negara ini.
Naib Ketua Pemudanya Shazni Munir Mohd Ithinin berkata, pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan Nisha Ayub yang menimbulkanpertembungan pandangan terhadap golongan Lesbian, Gay,Biseseksula, Transeksual (LGBT) itu jelas bermotifkan politik dan tidak mengambarkan citra dakwah sebagaimana dituntut agama.
“Pendekatan ala Taliban yang digerakkan golongan ekstrimis ini bukan sahaja langkah yang bersalahan dengan agama, bahkan menjauhkan lagi golongan transgender dengan agama.
“Nas agama ditunggang semahunya dengan intonasi keras – melaknat misalnya – seolah-olah mahu mengambil kerja Tuhan.
“Golongan ekstrimis ini sewajarnya malu. Ketika tangan dan lidah mereka begitu lancang menghukum neraka terhadap pihak yang tidak sealiran, muncul pendakwah seperti Ebit Lew yang turun mendekati komuniti transgender dengan mesej kasih sayang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru institusi-institusi agama disarankan agar mengambil langkah proaktif untuk melahirkan lebih ramai lagi ‘Ebit Lew’.
“Dengan metodologi dakwah yang lebih terbuka, hikmah dan bersahabat, uslub ini jauh lebih baik berbanding sesetengah manusia yang hanya tahu berlagak suci dengan pendekatan ‘hollier than thou’,” ujarnya.
Pada 10 Ogos lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah bertemu dengan wakil komuniti transgender Nisha Ayub. Bagaimanapun pertemuan itu mendapat teguran di kalangan pimpinan politik pembangkang dan pihak yang kurang senang dengan pertemuan diadakan itu.
Bagaimanapun Dr Mujahid dalam kenyataannya menjelaskan pertemuan di Kompleks Islam Malaysia itu adalah atas permintaan aktivis transgender dan beliau menerima kehadiran Nisha bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.
Mujahid berkata pihaknya tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah seperti mana Islam tidak menggalakkan umatnya menyakiti manusia yang lain.
Beliau berkata perkara paling utama perlu dilakukan ialah menghapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti tersebut terutamanya di tempat kerja serta di tempat-tempat awam.
Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan