"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasatan SPRM ke atas pembantu Mat Sabu dedah perebutan jawatan

FMT Reporters 

KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas seorang pembantu Mohamad Sabu melibatkan sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun bank menunjukkan perebutan jawatan di kementerian dalam kalangan kawan-kawan dan rakan-rakan ahli politik Pakatan Harapan.


Seorang pembantu Mohamad dilaporkan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditugaskan untuk memastikan semua pembantu dan pegawai politik para menteri bebas daripada urusan meragukan sebelum dilantik secara rasmi.

Dipercayai SPRM sedang menyiasat transaksi berjumlah RM800,000 ke akaun bank pembantu itu, sejurus selepas Mohamad mengangkat sumpah menteri pertahanan.

Pembantu berusia pertengahan 40-an itu dikatakan dekat dengan presiden Amanah itu dan terpilih daripada berpuluh kawan-kawan rapat yang juga mahukan jawatan kanan bawah menteri itu.

“Dia seorang yang setia dan bersama Mohamad ketika susah dan senang, termasuk ketika Mohamad hilang pengaruh selepas diketepikan PAS dan kemudian meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Amanah,” kata sumber yang dekat dengan pemimpin Amanah itu.

Sumber berkata sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohamad untuk portfolio pertahanan pada Mei, dia dibanjiri permintaan daripada kawan-kawan dan penyokong-penyokong yang mahu menjadi pembantunya.

“Tetapi dari awal lagi jelas orang itu akan terpilih kerana dedikasinya,” kata sumber itu.

Pilihan Mohamad bagaimanapun tidak disenangi ramai kawan-kawan yang juga mahu menjadi pembantu di kementerian utama itu.

“Ramai kawan-kawan yang kononnya ‘berhaluan kiri’ ini tidak ada pendapatan tetap. Ada antara mereka dari Amanah, ada dari parti komponen lain, serta aktivis yang perlukan kestabilan kewangan,” kata sumber itu.

“Kita tak boleh puaskan hati semua orang.”

Sumber berkata pendedahan tentang siasatan SPRM ke atas pembantu itu berbetulan dengan angkat sumpah minggu ini, dengan harapan ia boleh menggagalkan pelantikan dan mengosongkan jawatan itu.

“Satu lagi dakwaan yang dilontarkan bagi mengurangkan peluangnya termasuk menuduhnya seorang Syiah,” kata sumber itu dan berkata serangan sebegitu terhadap kem Mohamad “bukan aneh”.

“Mohamad juga pernah dilabel Syiah oleh pengkritiknya kerana bersimpati dengan gerakan seperti Hizbullah,” kata sumber itu.

Sumber mengesahkan pembantu itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi sebelum Amanah ditubuhkan.

Perkara itu mesti diatasi dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah wang untuk melangsaikan hutang tersebut.

Sumber berkata pembantu itu kemudian menemui kawan-kawan rapat – “kira-kira 12 orang” – untuk membantu dia menyelesaikan hutang peribadi berjumlah kira-kira RM800,000 itu.

FMT difahamkan semasa tapisan SPRM, pembantu itu menyerahkan dokumen mengandungi nama-nama orang yang meminjamkan wang dan setiap transaksi diperincikan.

“Wang didepositkan dalam pelbagai kadar, daripada sekecil RM10,000 sehingga RM100,000, hingga mencecah RM800,000.”

Masalah yang dihadapi pembantu itu bukan perkara luar biasa setiap kali menteri baru dilantik, lebih-lebih lagi selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya Mei lepas yang menyaksikan banyak jawatan politik kosong.

Ia termasuk jawatan setiausaha politik dan setiausaha akhbar, yang dilihat sebagai tulang belakang pejabat menteri terutama untuk mengendalikan persepsi umum.

Sementara itu, sumber berkata SPRM mungkin tidak akan menemui unsur-unsur rasuah dalam siasatan ini.

“Tetapi persepsi buruk sudah terpalit pada pejabat Mohamad, terutama bila dia memegang jawatan itu diiringi perasaan gembira orang ramai,” katanya.

Tiada ulasan: