Dr Mujahid Yusof
Sekali lagi, merujuk kepada pertemuan saya bersama wakil transgender Jumaat lalu.
Saya sentiasa terbuka untuk membincangkan isu yang sensitif. Saya berpandangan kita boleh dekati isu ini dengan dua cara pendekatan sama ada ia dilakukan secara engagement atau confrontational.
Kedua-dua bentuk pendekatan itu bagaimanapun mempunyai manfaat dan mudaratnya yang tersendiri. Namun sebagai menteri dan mewakili institusi agama bagi kerajaan persekutuan - pada hemat saya - pendekatan secara engagement yang lebih lunak dan lembut lebih sesuai dan ‘rahmah’ malah ia bukan satu perkara baru dalam teknik berdakwah yang boleh berubah dengan penilaian situasi, tempat dan masa.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri telah menjalankan kerja-kerja dakwah secara engagement terhadap pelbagai kumpulan sasaran, terutamanya dalam isu transgender.
Untuk rekod, Jakim telah mendekati komuniti berkenaan sejak lapan tahun lalu untuk mengeluarkan mereka dari kancah industri seks sebagai objektif pertama, dan seterusnya memberi bimbingan ilmu dan keagamaan bagi perubahan sepenuhnya.
Ditegaskan lagi menggunakan pendekatan dakwah secara engagement bukan bermakna saya atau kerajaan menyokong perlakuan mereka, tetapi sebagai kerajaan kami perlu memastikan agar tiada pihak yang semakin menjauhkan diri disebabkan pendekatan keras dan menghukum di peringkat awal.
Saya juga menyedari berlaku sedikit kekhilafan semasa sidang media ketika menjawab soalan yang diajukan wartawan pada Jumaat lalu, terutamanya mengenai penggunaan tandas awam dan beberapa perkara lain.
Pendirian tetap kekal
Saya menjawab soalan wartawan yang diajukan secara spontan dan sepintas lalu. Ia bukan kenyataan muktamad mahupun arahan, ia sekadar respon spontan saya.
Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah: “maybe..” (mungkin) dan “if…” (kalau) kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan.
Demikian juga hal berkaitan saf solat. Semua hal tersebut sesuai dibicarakan lanjut oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik.
Apapun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam (offended) dengan kekeliruan yang telah berlaku dan juga menarik semula kenyataan yang kurang sesuai.
Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pendirian saya selaku menteri kekal, iaitu kita langsung tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis.
Tiada sama sekali pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut.
Berdasarkan kesimpulan dan dapatan kajian Jakim selama lapan tahun, selain beberapa kajian ilmiah antaranya oleh Dr Izwan Yusof, Teh Yik Koon dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim, saya telah menyimpulkan kesukaran golongan transgender mendapatkan pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan, serta adat dan budaya.
Ia merupakan antara faktor yang mendorong mereka untuk menjadi pekerja seks, kerana beranggapan mereka tidak diterima oleh masyarakat.
Kita tidak boleh nafikan hak asas pelaku selaku manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan yang sesuai, mendapat pelanggan bagi perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tidak dihina dan dikutuk ketika ingin mendapatkan hak-hak asas (basic rights) yang tersebut, hingga akhirnya terus membenci agama dan manusia lain.
Itulah hak asas yang wajar dinikmati oleh seluruh warganegara, selagi penunaian hak itu tidak mengancam hak yang lain secara jelas.
Berdasarkan pengalaman menyantuni komuniti juga, Jakim mendapat maklum balas daripada komuniti transgender tentang isu diskriminasi. Misalnya penolakan keluarga, stigma masyarakat, ejekan dan buli, stigma agamawan dan sukar mendapat pekerjaan kerana tidak memenuhi peraturan majikan yang menetapkan berpenampilan seperti identiti yang tercatat dalam kad pengenalan.
Jangan cuma melaknat
Bagaimanapun, Jakim juga menerima maklum balas daripada komuniti transgender yang mempunyai kerjaya yang baik, masih tinggal bersama keluarga, dapat peluang belajar dan mendalami agama.
Misalnya melalui program yang dilaksanakan Jakim dan badan-badan lain, kerana mereka bersedia bertoleransi dengan nilai norma, budaya, agama, undang-undang yang dianut oleh bangsa Malaysia.
Mendekati golongan transgender dan memahami selok-belok kaedahnya supaya dapat menarik mereka menjinakkan diri dengan ilmu agama sehingga akhirnya keluar daripada perlakuan dilaknati Rasulullah SAW adalah suatu tuntutan dakwah.
Kita tidak boleh hanya melaknat dan memulaukan mereka tanpa ada sesiapa - khususnya pihak berwajib - yang mendekati dan memberi peluang secara lunak dan bersasar.
Sudah tentu, saya menerima hadis-hadis sahih yang melaknat golongan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya, namun pada hemat saya, ia lebih sesuai dalam bentuk dakwah umum seperti dalam khutbah Jumaat tanpa dikhususkan kepada identiti tertentu.
Namun dalam konteks dakwah fardiah (individu), pendekataan secara al-nasihah bil hikmah perlu dilakukan tanpa mendahulukan ancaman dan laknat sebelum menjelas dan mendekati.
Demikian metodologi dakwah yang diajar di dalam al-Quran apabila Nabi Musa AS diperintahkan mengadap Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut (Taha: 43-44), dan hadis tentang cara Rasulullah menasihati pemuda yang datang meminta izin untuk berzina.
Juga ketika baginda melarang sahabat mencela seorang sahabat lain yang ditangkap kerana meminum arak, serta contoh-contoh lain.
Berdasarkan beberapa kajian Jakim juga, komuniti LGBT Muslim di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori. Kategori yang perlu diberi penekanan serta bimbingan ialah golongan yang mahu berubah atau berhijrah, serta mengakui perlakuan mereka menyalahi agama.
Bagi kategori yang ketiga (iaitu yang menganggap perlakuan mereka disebabkan naluri semula jadi dan tidak rasa bersalah), perlu digerakkan dialog berterusan untuk sama-sama saling memahami agar mereka tidak terus terpesong.
Hanya selepas itu, pendekatan lain wajar disusun dan dimulakan.
Akhir sekali, berhentilah dari memanipulasi kenyataan saya dengan fitnah atau kesimpulan yang tidak pernah saya maksudkan. Tiada pula saya bersifat lunak dan lembut tanpa batasan dan perancangan.
Tugas menghukum, bukan tugas kita. Sesungguhnya Allah sahaja yang berhak untuk menilai hamba-Nya. Kita perlu menyelamatkan, bukan hanya cekap dan pantas mencaci, melaknat dan menyisihkan, kerana ruang taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke hujungnya.
Negara dan pemimpin yang rahmah perlu mengutamakan yang lunak sebelum keras lagi menjauh dan menambah benci terhadap Islam.
Berhentilah menjadi masyarakat yang menghukum. Bantu dan bimbing. Komuniti transgender juga perlu berhenti menuntut hak yang menyanggahi nilai norma, budaya, agama,undang-undang yang dianut bangsa Malaysia.
Dengan itu, masyarakat lebih sejahtera.
DATUK DR MUJAHID YUSOF ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan