"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar dapat laluan dari MP bebas Perak?

Seorang wakil rakyat bebas di Perak dilaporkan telah menawarkan kerusi parlimennya kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan berita, ahli parlimen itu, yang sebelum ini pernah bersama BN, membuat tawaran itu semasa pertemuannya dengan Anwar, baru-baru ini.

“Memenangi pilihan raya kecil tidak patut menjadi masalah kepada Anwar kerana Pakatan Harapan menguasai Putrajaya dan kerajaan negeri Perak,” kata sumber itu kepada FMT.

Kedua-dua Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal bertanding di bawah tiket BN pada pilihan raya umum ke-14 lalu. Namun mereka meninggalkan Umno selepas itu.

Semasa mengumumkan keputusannya, Noor Azmi secara terbuka mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata beliau kini adalah ahli parlimen Bebas dan merancang untuk menyertai BERSATU.

Beliau memenangi Bagan Serai dengan majoriti tipis sebanyak hanya 172 undi berbanding pencabar terdekatnya dari PAS, Rohaya Bakar.

Tiga hari selepas itu, Syed Abu Hussin pula mengumumkan keputusannya untuk menjadi ahli parlimen Bebas kerana kecewa dengan keputusan pilihan raya Umno baru-baru ini.

Syed Abu Hussin, bagaimanapun berkata, beliau tidak berniat untuk menyertai mana-mana parti lain. Pada PRU-14, beliau memenangi Bukit Gantang dengan majoriti 4,089 dalam pertandingan tiga penjuru melawan PKR dan PAS.

Sebelum ini, ahli parlimen Selayang, William Leong dan ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul turut menawarkan untuk meletak jawatan supaya Anwar boleh mengambil kerusi mereka.

Sementara itu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuannya, Nurul Izzah masing-masing menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat mengundurkan diri dan melepaskan kerusi mereka.

Anwar sebelum ini berkata, beliau tidak tergesa-gesa menjadi perdana menteri kerana keutamaannya ialah memasuki Dewan Rakyat.

Beliau menggesa rakyat memberi sokongan kepada Dr Mahathir yang sedang memimpin negara dan berkata, berdasarkan persetujuan awal HARAPAN, peralihan kuasa boleh berlaku dalam masa terdekat dengan penyertaannya di Dewan Rakyat.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Anwar untuk ulasannya.

Tiada ulasan: