"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Perak minta bantuan ahli kumpul RM135,000

Shakira Buang

PAS Perak kelihatan menghantar isyarat SOS kepada anggota dan penyokong parti itu ekoran tanggungan hutang.

Menerusi hantaran dimuat naik pesuruhjayanya, Razman Zakaria, hari ini PAS Perak merayu supaya anggota parti terbabit - didakwa ada seramai kira-kira 100,000 orang - mengumpul dana yang diperlukan.

PAS Perak, kata Razman, memerlukan lebih RM130,000 dan keperluannya digambarkan sebagai sangat mendesak.

"Sehingga kini (PAS Perak) masih berhutang RM135,000 dengan Jabatan Peguam Negara dan amat mendesak.

"PAS Perak mempunyai hampir 100,000 orang ahli.

"Sekiranya setiap ahli menyumbang RM10 seorang bolehlah meringankan beban ini," katanya pada hantaran berkenaan.

Razman yang juga bendahari pusat PAS menjelaskan rayuan itu dibuat kerana parti terbabit gagal dalam petisyen dikemukakan untuk mencabar keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Ada perancangan sendiri

Katanya petisyen tersebut telah ditolak dengan bayaran kos berjumlah RM270,000.

Sementara itu dihubungi Malaysiakini malam ini Razman mengakui hantaran tersebut memang benar dan PAS Perak sudah menjelaskan bayaran bernilai lebih RM100,000.

Bagaimanapun katanya masih ada baki tanggungan sebanyak RM135,000.

Ditanya sama ada PAS Perak ada menjalankan kutipan infak (derma) seperti yang digerakkan sebelum ini, Razman berkata, ia diadakan dari semasa ke semasa dan hanya mengumpul kira-kira RM23,000 sebulan.

Namun katanya wang tersebut terpaksa dibahagikan antara PAS Pusat, negeri dan kawasan-kawasan.

Untuk rekod PAS Perak menyasarkan untuk membentuk kerajaan negeri melalui PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu.

Baca Wawasan PAS kutip infak RM10 juta sebulan

Mereka meletakkan 43 calon bagi merebut kerusi dewan undangan negeri (DUN) Perak. Secara keseluruhan DUN Perak mempunyai 59 kerusi.

Bagaimanapun hanya tiga calon PAS yang menang, termasuk Razman di Gunung Semanggol.

Untuk kerusi parlimen pula PAS Perak mencuba nasib di 19 daripada 24 kerusi yang ada.

Daripada jumlah itu tidak ada seorang pun calon mereka yang berjaya.

Pada PRU ke-13 PAS Perak meletakkan 21 calon di kerusi DUN dan tujuh kerusi parlimen.

Kata Razman buat masa ini PAS Perak masih mengambil pendekatan tradisional untuk mengumpul dana tersebut.

"Semua masih dalam perancangan dan kalau berjalan nanti, diharap dapatlah menampung keperluan dana tersebut," katanya.

Tiada ulasan: