"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM ulangi lebih ramai 'jerung besar' bakal diheret ke mahkamah

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus mencari dan mengheret lebih ramai ‘jerung besar’ yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Akan ada ramai lagi orang akan diheret. Tetapi, sekarang kita terpaksa memberi fokus terhadap beberapa orang terlebih dahulu kerana kekurangan pegawai.

“Jadi, kita tidak boleh berurusan dengan ramai orang yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Buat masa sekarang, kita ‘kejar’ jerung besar terlebih dahulu. Tetapi untuk heret mereka, kena kumpul cukup bukti untuk heret ke mahkamah keadilan dan kemudiannya tindakan boleh diambil,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sambil mengakui ia bukan kerja mudah kerana memerlukan bukti untuk mengheret mereka muka keadilan, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga menghadapi kekangan dari segi pegawai untuk menjalankan tugas itu.

Sementara itu, Dr Mahathir pada ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini mengajak setiap orang agar berganding bahu membantu kerajaan memerangi gejala rasuah.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu takut untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa, dengan memberi jaminan bahawa langkah mereka itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

“Kami memerlukan sokongan rakyat. Rakyat hendaklah memahami bahawa rasuah sesuatu yang tidak baik untuk mereka. Oleh itu, mereka perlu memainkan peranan dalam menghapuskan rasuah.

“Jika terdapat sebarang bukti rasuah dalam kerajaan, kami berharap orang ramai dapat menyatakannya dan memberitahu kepada pihak berkuasa bahawa terdapat pegawai rasuah dalam kerajaan,” katanya.

Beliau juga menekankan akan kepentingan dan kerjasama orang ramai dalam membasmi rasuah adalah amat penting memandangkan kerajaan bergantung kepada orang ramai untuk membantu mereka mengenai sebarang amalan rasuah yang mungkin menjejaskan mereka.

Tiada ulasan: