"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam tawar diri bentang maklumat, teknologi spesies ganja untuk perubatan

MALAYSIA DATELINE
Senator Datuk Husam Musa menawarkan diri untuk membantu menyalurkan maklumat kepada mana-mana pihak yang sanggup membuat kajian mendalam berkaitan satu spesies marijuana atau ganja yang sesuai digunakan untuk perubatan.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, spesies tersebut dikatakan bukan sahaja mujarab dalam merawat penyakit kanser, malah didapati tidak menimbulkan ketagihan terhadap individu yang mengambilnya sebagaimana ganja biasa.

Tanpa mendedahkan spesies ganja yang dimaksudkan, katanya, beliau telah berjaya mengumpulkan maklumat lengkap mengenai tumbuhan tersebut termasuk teknologi berkaitan dengannya.

Walau bagaimanapun, ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu, hal tersebut setakat ini belum dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Saya bersedia membentangkan maklumat dan teknologi berkenaan kepada mana-mana pihak yang sanggup buat kajian.

“Bagaimanapun, ia dijangka memakan sedikit masa untuk pihak berwajib menerimanya, membuat kajian lanjut dan seterusnya memajukan perkara ini tanpa syak wasangka,” katanya dipetik dari Utusan Online hari ini.

Mengulas lanjut, Husam mengakui ganja yang baik untuk kesihatan tetapi menimbulkan ketagihan sedikit sebanyak berpotensi menimbulkan ancaman keselamatan sekiranya dibiarkan ditanam dan digunakan secara bebas di negara ini.

“Sebagaimana saya sebut, spesies saya ceritakan ini tidak menimbulkan ketagihan dan secara semula jadi mampu memberi kesihatan lebih baik kepada manusia,” tambahnya.

Lebih baik

Pada 1 Oktober lalu, Husam dilapor berkata, Malaysia akan terkedepan jika memperkenalkan tanaman ganja kesihatan bagi tujuan perubatan memandangkan Kanada, Jerman serta beberapa negeri di Amerika akan berbuat demikian mulai tahun depan.

Beliau berharap perubatan berasaskan ganja tidak dianggap sebagai jenayah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 memandangkan ganja mempunyai 36 elemen untuk rawatan kanser.

Tambahnya lagi, penggunaan marijuana kesihatan itu merupakan bahan yang lebih baik bagi untuk kaedah kimoterapi bagi pesakit kanser.

Baru-baru ini, Thailand muncul selaku negara pertama di rantau Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan ganja secara sah di sisi undang-undang bagi tujuan perubatan dan penyelidikan di negara itu.

Dalam hal berkaitan, Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar pada September lalu berhasrat untuk membawa isu pembaharuan undang-undang berkaitan ganja ke Kabinet.

Beliau mahu perubatan berasaskan ganja dan minyak kanabis tidak dianggap jenayah bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 memandangkan banyak negara telah menyemaknya semula perkara itu.

Untuk rekod, Malaysia antara negara Asia yang masih mengenakan undang-undang berkaitan ganja antara paling ketat di dunia sehingga boleh dijatuhkan hukuman mati selain Singapura dan Indonesia.

Isu perubatan berasaskan ganja mendapat perhatian selepas seorang pengamal perubatan berasaskan ganja, Muhammad Lukman dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bapa seorang anak, 29, itu ditahan pada Disember 2015 kerana memiliki 3.1 liter minyak kanabis, 279 kilogram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Tiada ulasan: