"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS ikrar terus bersama Umno, selepas dikritik bahtera bocor

FMT Reporters
PETALING JAYA: Selepas presiden dan naib presiden PAS mengkritik Umno secara berasingan baru-baru ini, parti Islam itu hari ini bertukar nada dengan berikrar akan terus bersama Umno, tanda solidariti antara 2 parti Melayu Islam terbesar di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalan presiden yang memangku tugas presiden Umno perlu diberi peluang merangka strategi bagi hala tuju baru parti itu yang berdepan tindakan keluar parti beramai-ramai selepas mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“PAS akan terus bersama semua parti lain dalam konteks solidariti pembangkang demi memastikan wujudnya semak dan imbang dalam kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan, terutama melalui nasihat dan menawarkan opsyen terbaik agar kerajaan dapat berperanan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS juga sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi mengekalkan keamanan serta kemakmuran negara.

Pada 24 Disember lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam temuramah “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland menyifatkan Umno bahtera bocor dan PAS tidak mungkin akan bergabung dengan parti itu.

Katanya, gabungan dengan parti sedemikian hanya akan menambahkan kesulitan.

Semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan mengulangi cadangan peribadinya supaya Umno dibubarkan kerana tiada masa depan dalam politik dan menghadapi pelbagai kemelut dalaman.

Umno yang memenangi 54 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 lalu, kini hanya mempunyai 37 ahli Parlimen.

Tiada ulasan: