"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harga ikan, sayur dijangka akan jatuh dalam 2, 3 minggu

Robin Augustin

PETALING JAYA: Bos rangkaian pasar raya besar Mydin berkata, kenaikan harga makanan antara 30% hingga 250% baru-baru ini dijangka kembali normal dalam tiga minggu.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, kenaikan harga baru-baru ini disebabkan banjir di beberapa negeri dan sekatan daripada perintah kawalan pergerakan.

Dalam dua minggu ini, katanya, harga ternakan meningkat sebanyak 10-15%, manakala ikan tempatan seperti Mabung naik daripada RM12 kepada RM18 sekilo, serta Kembong daripada RM7 kepada RM9 sekilo.

“Harga sayur naik lebih dua kali ganda, bendi RM6 sekilo, kini berharga RM12. Harga tomato meningkat daripada RM3.50 kepada RM9 setiap kilogram.”

Ameer berkata, banjir yang melanda baru-baru ini merosakkan ladang dan jalan raya, manakala sekatan PKP menyebabkan pasar borong ditutup atau beroperasi pada waktu terhad.

“Jadi, disebabkan ini, berlaku kekurangan bekalan dan ini menyebabkan kenaikan harga. Kami menjangkakan harga akan kembali normal dalam dua hingga tiga minggu. Ini keadaan sementara dan ia berlaku selama berdekad di bawah setiap kerajaan. Penyelesaian terletak pada bekalan makanan.”

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa kerajaan menyelesaikan kenaikan harga barang keperluan kerana rakyat semakan terbeban dengan kenaikan harga, terutamanya makanan mentah.

CEO Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Paul Selva Raj berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga makanan.

“Ini adalah kelemahan dalam rantaian bekalan, ia bukannya isu baru. Kita tahu banjir berlaku setiap tahun, tetapi apa yang sudah kita lakukan untuk bersiap sedia menghadapi keadaan itu? Apa strategi jangka panjang untuk memastikan makanan sentiasa dapat diakses dan berpatutan? Kita menanggung akibat daripada pengabaian terhadap sektor pertanian kita selama bertahun-tahun.”

Beliau menggesa kerajaan membuat strategi jangka panjang untuk demi menjamin keselamatan makanan.

Tiada ulasan: