"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan PN umum darurat, syaitan perlu dipersalahkan?

ARIF ATAN

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil menyelar Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran tulisan Presiden Pas itu yang bertajuk “Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan.”

Ketua Setiausaha Pengelola PKR itu menasihatkan adalah lebih baik keraguan-keraguan dalam kalangan rakyat diteliti sebelum menuduh syaitan menghasut rakyat Malaysia.

Beliau berpendapat keraguan demi keraguan itu timbul ekoran keputusan-keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat aneh dan memundurkan Malaysia.

“Contohnya, ketika kerajaan secara tiba-tiba mengumumkan darurat yang sudah tentu akan merisaukan pelabur dan menghilangkan fungsi Parlimen.

“Kegusaran ini bukan sahaja dikongsi oleh Pakatan Harapan (PH), tapi turut disebut oleh pemimpin-pemimpin Umno.

“Keadaan ini menyebabkan rakyat ragu, adakah semua keputusan-keputusan yang diambil kerajaan ini benar-benar untuk menyelamatkan rakyat, atau mereka ingin menyelamatkan diri akibat kehilangan majoriti?

“Apakah dalam hal ini syaitan juga yang perlu dipersalahkan?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hadi berkata, generasi muda Islam yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan agama masih dihantui pengaruh bisikan syaitan.

“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka.

“Pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam.

“Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu,” katanya.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu, dalam masa sama bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik.

Mengulas lanjut, Nazmi menegaskan pada hakikatnya melumpuhkan Parlimen dengan alasan ingin menghadapi Covid-19 merupakan alasan dangkal kerana pada saat-saat getir seperti ini Parlimen amat diperlukan.

“Apabila kurangnya perbincangan dalam kalangan ahli Parlimen, maka syaitan-syaitan akan gemar menghasut ahli politik untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu untuk terus berkuasa.

“Ini termasuklah menggunakan hujah-hujah yang kelihatan beragama untuk menghalalkan hal-hal yang batil,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: