"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kubu Rina bakal digempur AMANAH malam ini

ARIF ATAN

Buat julung kalinya, Kampung Bharu di tengah-tengah ibu negara bakal menyaksikan ceramah secara fizikal daripada pimpinan utama AMANAH malam ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu juga bekas Menteri Pertahanan dijadualkan turun menggempur kerusi Parlimen Titiwangsa yang disandang Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun itu.

Jelajah Ceramah Isu Politik Semasa bertempat di Kelab Sultan Sulaiman itu sama akan disertai Setiausaha Agung AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli merangkap Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, AMANAH menaruh harapan tinggi untuk bertanding di Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 ketika rundingan akhir pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum akhirnya diperoleh Bersatu.

Turut mengambil bahagian dalam program bermula jam 8 malam ini ialah Pengerusi Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer.

Pimpinan akar umbi, Zaharudin Othman iaitu Ketua AMANAH Titiwangsa dan Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan antara barisan penceramah menjelang Ramadan ini.

Kerusi Parlimen dikuasai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut bakal menyaksikan penampilan Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam yang juga Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan.

Orang ramai dijemput hadir dalam program tersebut yang akan dipastikan pihak penganjur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Lokasi Jelajah Ceramah Isu Politik Semasa oleh pimpinan AMANAH malam ini.

Tiada ulasan: