Hariz Mohd
Kerajaan Sabah akan menyiasat gambar yang dikatakan memaparkan Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin makan di meja yang menghidangkan juadah telur penyu.
Gambar itu disiarkan di laman Facebook Naib Presiden Warisan Junz Wong.
"Ini keterlaluan. Pertama Ismail Sabri (naib presiden Umno) dan James Ratib (Umno) dengan telur penyu.
"Kemudian ada bekas Adun Umno dengan telur penyu," kata keterangan yang disertakan pada hantaran Facebook.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Wong mengatakan bahawa dia diberitahu bahawa kejadian itu berlaku semasa perayaan Hari Raya baru-baru ini tetapi tidak mendedahkan bagaimana dia memperoleh gambar itu.
Sementara itu, menteri pelancongan, budaya dan alam sekitar negeri itu, Jafry Ariffin mengatakan pihak mereka akan menyiasat perkara itu.
"Sudah tentu (kami akan mengambil tindakan), jika ada keperluan.
"Semua orang tertakluk dengan undang-undang, tetapi kita harus melalui proses tertentu seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya kepada New Straits Times.
Dalam gambar tersebut, ahli politik veteran itu kelihatan menunjukkan ibu jari. Terdapat beberapa pinggan di atas meja, termasuk empat yang didakwa menghidangkan telur penyu.
Terdapat juga orang lain di meja itu tetapi wajah mereka tidak kelihatan.
Malaysiakini telah menghubungi Bung, pembantunya dan pesuruhjaya polis Sabah Hazani Ghazali untuk memberi komen.
Pengambilan telur penyu dibenarkan di bawah perlesenan yang ketat dan terhad di pantai timur semenanjung tetapi ia dilarang di Sabah di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997.
Mereka yang bersalah mengambil, menjual atau memakan telur penyu di negeri ini boleh didenda hingga RM50,000 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Wong memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin politik harus memberi contoh yang baik.
"Kita tidak boleh memiliki pemimpin yang melekehkan undang-undang negara kita dan melakukannya seolah-olah tidak ada yang perlu dikhuatirkan.
"Bagaimana kita mengharapkan warga biasa untuk mematuhi undang-undang ketika ahli parlimen sendiri tidak serius menanggapinya," tambahnya.
Pada tahun 2015, Ismail Sabri dikritik oleh kumpulan pemuliharaan spesies terancam setelah gambarnya di sebuah program makan malam di Sabah bersama dengan pemimpin Umno bahagian Beluran James Ratib dan juadah telur penyu .
Pemimpin Umno itu menafikan memakan telur tersebut, dengan alasan kadar kolesterolnya yang tinggi dan kemudian memfailkan saman terhadap akhbar Daily Express yang berpusat di Sabah berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan