Capaian internet teruk, belajar ‘online' tepi jalan
Nazira Hasanah Nasaruddin
Kegigihan seorang pelajar membawa kerusi dan meja ke tepi jalan untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik mengundang rasa terharu dalam kalangan netizen baru-baru ini.
Gambar itu menjadi tular selepas didedahkan bapa saudaranya yang menggunakan akaun Twitter @aimanpaku kelmarin.
Katanya, dia gembira melihat gelagat anak buahnya yang ditemani adiknya itu.
“Kesian anak saudara aku, nak dapat internet punya pasal untuk kelas secara atas talian. Duduk di luar rumah. Rumahnya di tengah ladang sawit. Capaian internet tidak bagus. Nasib baik adiknya teman di tepi.
“Saya berkongsi gambar ini bukan untuk meraih simpati, dia tidak mempunyai masalah dari segi bekalan makanan mahupun tempat tinggal.
“Mereka cuma menghadapi masalah capaian internet sahaja. Namun, bagi mendapatkan rakaman video yan lebih jelas dan tiada sekatan audio, dia duduk di luar rumah dengan harapan tiada masalah sepanjang pembelajaran atas talian itu berlangsung”, ciapnya.
Tidak lama setelah posting yang dibuat di laman Twitternya itu, dia memberitahu bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menghubunginya untuk melakukan pemeriksaan liputan internet di kawasan tersebut.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi bapa saudaranya serta SKMM bagi mendapatkan maklum balas lanjut mereka berkaitan isu itu.
Sementara itu, rata-rata pengguna laman Twitter terharu dan tidak putus mendoakan semoga pelajar tersebut dipermudahkan urusan pembelajarannya yang dilalui olehnya.
“Semoga dia membesar menjadi anak soleh dan insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Dia akan membuat keluarganya bangga suatu hari nant kerana kuat semangat," kata @AmarSheqal.
“Moga anak saudara tuan berjaya dunia dan akhirat. Usaha dia sangat bagus dan bersungguh-sungguh nak dapatkan ilmu”, jelas @NHR0902 di laman Twitter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan