"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanat Haji Hadi: Jakim perlu beri penjelasan, kata bekas ahli PAS

Malaysiakini 

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bahgarib Ali, mendesak pihak berkuasa menjelaskan sama ada fatwa "Amanat Haji Hadi" yang diharamkan sebelum ini telah dikeluarkan dari senarai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Sheikh Umar berkata sebagai bekas ahli PAS yang pernah didoktrin dengan "Amanah Haji Hadi" ketika berdepan dengan Umno pada suatu masa dulu dia tertunggu-tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.

"Bahkan Majlis Fatwa Kebangsaan serta menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sepatutnya turut memberikan penjelasan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berdasarkan pengalaman peribadi, kata Sheikh Umar, kenyataan dibuat presiden PAS kira-kira 40 tahun lalu itu memberi kesan besar khususnya dalam arena dakwah serta politik tanah air.

Sebagai orang muda dalam PAS lebih 10 tahun dahulu, katanya, mereka memahami bagaimana wujud suasana berpecah-belah seperti sembahyang dua imam, menolak sembelihan orang Umno dan memperbaharui akad nikah.

Semalam, Jakim memberitahu mereka akan menyemak terlebih dahulu dakwaan fatwa berkaitan “Amanat Haji Hadi” sudah dipadam daripada laman sesawangnya.

"Saya semak dulu,” kata Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Jakim, Zakaria Othman, ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, tular tangkap layar seorang pengguna Twitter bertanyakan status petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang pernah mencetuskan krisis serta perpercahan yang serius dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Antara petikan ucapan Abdul Hadi di Kampung Banggul Peradong itu ialah: 

Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan 'politik suku, agama suku."

Seorang pengguna Twitter @apanakdikato bertanya melalui ciapannya: "Apakah benar @MyJakim telah memadam fatwa amanat Haji Hadi yang telah difatwa haram pada 2002?"

Sheikh Umar berkata "Amanat Haji Hadi" itu turut memberi impak terhadap budaya takfiri (mengkafirkan orang lain) dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Saya mengharapkan penjelasan yang sewajarnya diberikan segera.

"Perkara ini juga penting khususnya setelah PAS mengambil sikap yang berbeza berbanding dahulu menerusi kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

"Rakyat berhak diberi penjelasan. Bahkan ahli-ahli PAS, bekas-bekas ahli serta mereka yang pernah menerima tarbiah PAS juga seharusnya mendapat penjelasan berkaitan duduk letaknya perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan," katanya.

Tiada ulasan: