"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM300 juta untuk membeli 500 ambulans tekanan negatif, banyak persoalan perlu dijawab

PH kemuka tanda tanya alasan kerajaan dapatkan 500 ambulans

Malaysiakini 

Pengumuman kerajaan untuk memulakan proses pemerolehan ambulans tekanan negatif mengundang beberapa persoalan dan dituntut jawapannya, kata Pakatan Harapan (PH).

Menurut Jawatankuasa Kesihatan PH tanda tanya yang perlu dijawan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ialah, mengapa proses tender untuk 500 ambulans tersebut dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

"Adakah keputusan ini mendapat kelulusan kabinet," kata mereka dalam kenyataan pagi ini.

Turut dibangkitkan ialah sama ada pelaksanaan tender untuk 500 unit ambulans tersebut dilakukan secara terbuka atau tidak.

"Syarikat mana pula yang berjaya memperolehinya?" tanya jawatankuasa itu lagi.

Ia dianggotai 12 individu dengan diketuai bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad. Anggota lain jawatankuasa itu termasuk bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ong Kian Ming (ahli parlimen Bangi) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut).

Pada 19 Jun lalu Adham mengumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia akan memulakan perolehan lebih banyak unit ambulans tekanan negatif bagi mengangkut pesakit Covid-19 ke pusat rawatan.

Pembaziran yang nyata

Katanya ambulans itu merupakan keperluan penting terutama di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi. 

Jawatankuasa Kesihatan PH juga membangkitkan kewajaran peruntukan untuk mendapatkan ambulans berkenaan iaitu sebanyak RM300 juta ketika ada keperluan lain yang lebih mendesak.

Selain mahukan rasional di sebalik langkah tersebut dijelaskan mereka juga mahu Adham memberitahu data apakah yang menjadi asas untuk kerajaan membeli 500 ambulans tekanan negatif tersebut.

"Berapakah pula jumlah anggota barisan hadapan yang mengendalikan pengangkutan pesakit Covid-19 atau jenazah pesakit Covid-19 yang dijangkiti ataupun menyumbang kepada kluster baru di negara ini?" kata mereka.

Berbanding menggunakan RM300 juta untuk mendapatkan ambulans berkenaan, kata Jawatankuasa Kesihatan PH, dana tersebut sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain.

Misalnya kata mereka dimanfaatkan untuk mempercepat pemberian vaksin kepada orang ramai dengan menambah bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) agar lebih mudah diakses, selain memudahkan klinik swasta beroperasi sebagai PPV komuniti.

Peruntukan tersebut kata mereka lagi juga boleh digunakan untuk membanyakkan klinik bergerak agar vaksin dapat diberikan kepada lebih ramai orang termasuk di kawasan pedalaman.

Juga, kata mereka, kerajaan boleh memperbanyak lagi PPV pandu lalu sebagai akses mudah bagi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar.

"Ia adalah pembaziran yang nyata dan tidak langsung membantu menyelesaikan krisis pandemik Covid 19 di Malaysia.

"Alangkah baiknya jika wang sejumlah itu digunakan untuk melaksanakan perkara-perkara seperti mengambil lebih ramai sukarelawan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta memperbanyak program ujian saringan massa supaya isolasi segera dapat dilaksanakan kepada mereka yang didapati positif," katanya.

Tiada ulasan: