"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerjasama PH-Umno: Bakal jadi kenyataan atau sekadar angan-angan?

BAHA M. ISA

Perseteruan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Umno adalah amat jelas sebelum ini. Kedua-dua gabungan politik itu boleh dianggap sebagai dua musuh tradisi.

Kemuncaknya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berlangsung pada 2018, apabila PH mendapat mandat rakyat dengan meraih majoriti mudah di Parlimen manakala Umno terpelanting berada di pihak pembangkang.

Kejayaan PH itu bagaimanapun hanya bertahan 22 bulan dengan naiknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan Umno sebagai sebahagian daripadanya.

Namun begitu, kerajaan PN tidak bebas daripada masalah. Perselisihan Umno-Bersatu tercetus dan dilihat seolah-olah tiada bernoktah.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2020, berkata, keputusan partinya tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah muktamad.

Kenyataan itu dilihat telah memateri semua pintu kerjasama yang ada antara Umno-Bersatu.

Namun begitu, bak kata orang, satu pintu tutup, satu pintu terbuka. Terdapat pula cakap-cakap tentang kerjasama dua seteru lama iaitu PH dan Umno.

Dalam politik sebarang kemungkinan boleh terjadi. Parti-parti politik meskipun telah berseteru sejak sekian lama, boleh bekerjasama demi kepentingan rakyat.

Contohnya, kedua-dua PH dan Umno senada dalam isu pembukaan sidang Parlimen. Kedua-dua pihak konsisten mendesak kerajaan PN mengadakan sidang Parlimen.

Baru-baru ini juga, PH-Umno bersama menolak cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran). Pendirian itu isyarat jelas bahawa kedua-dua parti boleh berada pada landasan sama dalam isu-isu berkepentingan negara.

Jika diimbau kembali, pastinya ramai yang ingat apa yang berlaku di Perak pada akhir tahun lalu.

Pada Disember 2020, PH dilaporkan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di Perak.

Dalam masa sama, Umno juga sedia bekerjasama dengan PH termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.

Meskipun kerajaan PH-Umno tidak menjadi kenyataan di negeri tersebut, ianya sudah cukup mencetuskan satu gagasan pemikiran tentang betapa mungkinnya kerjasama seumpama itu pada masa akan datang.

Persoalannya, adakah kerjasama itu bakal menjadi kenyataan? Atau adakah ia hanya sekadar angan-angan?

Bagi penganalisis politik, Profesor Dr. James Chin, tiada istilah kerjasama PH-Umno memandangkan PH tidak bersatu dalam perkara tersebut.

Menurutnya, ia perlu dilihat dari segi parti-parti dalam PH secara individu.

Tambahnya, terdapat kumpulan dalam parti komponen PH yang menyokong kerjasama itu dan terdapat juga berpendirian sebaliknya.

Beliau berpendapat, dalam PH sendiri terdapat kumpulan besar yang merasakan PH memiliki peluang yang sangat baik pada PRU akan datang susulan prestasi buruk kerajaan PN hari ini.

James berkata, terdapat segelintir pengundi Melayu yang dilihat menyesal menyokong PN ekoran prestasi buruk kerajaan berhubung ekonomi, vaksin dan Covid-19.

“Jadi, mungkin PH akan ada peluang. Pengundi Melayu terutama di kawasan-kawasan bandar berfikiran mungkin PRU akan datang mereka mesti naikkan PH semula untuk mentadbir bagi lima tahun. Mereka mahu lihat sama ada PH boleh lakukannya atau sebaliknya.

“Banyak orang dalam PH fikir bahawa penyelesaian terbaik adalah melawan kerajaan kini, lupakan Umno, kerana kita boleh melakukan dengan baik pada PRU akan datang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tiada ulasan: